Bekas Wartawan Hiburan Popular, Kak Bam Meninggal Dunia

Bekas wartawan hiburan popular tanah air, Bahyah Mahmood atau lebih dikenali sebagai Kak Bam meninggal dunia di Institut Kanser Negara, Putrajaya dekat sini pagi Selasa.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.30 pagi akibat penyakit kanser, lokasi yang sama suaminya wartawan veteran Ahmad Idris atau Abi meninggal dunia pada 3 Februari tahun lalu.

Kak Bam, 75, dikenali sebagai penulis pojok ruangan hiburan sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia pada awal tahun 1980-an iaitu Shhh!!! Bam.

Jawatan terakhirnya di Utusan Melayu ialah Pengarang URTV dan bersara pada 1996.

Bam mula aktif dalam bidang penulisan di Singapura pada tahun 1965 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 1967.

Sepanjang kerjayanya sebagai wartawan, beliau banyak menggilap bakat artis-artis tanah air antaranya Sudirman, Datuk DJ Dave, Hail Amir, Noor Kumalasari, Uji Rashid dan Latiff Ibrahim.

Rumahnya di Jalan Enggang, Kuala Lumpur adalah lokasi pengumpulan artis sebagai tempat mengadu masalah dan juga berbual.

Dalam kerjaya seninya,  Allahyarham pernah berlakon dalam filem Sri Andalas dan Sri Mersing selain menulis beberapa lirik lagu antaranya Kadangkala (DJ Dave) dan Gelombang (Salamiah Hassan).

Lagu Gelombang  turut dijadikan sebagai lagu runut bunyi filem Tiada Esok Bagimu arahan Jins Shamsuddin.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai anggota panel juri yang bertanggungjawab memberikan anugerah Seniman Agung P.Ramlee dan Biduan Negara Saloma.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah,  Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi tahun 1991 sehingga 1993 dan antara pengasas Festival Filem Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) pada 1980.

Allahyarham pergi meninggalkan  tiga puteri, Farizah (50), Fadhila (46) dan Fazliana (41).

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Keramat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, dekat sini pada Selasa. – ms

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *