Dalam Masa Dua Hari, Sebanyak 250kg Ikan Segar Beku Q’Fish Berjaya Dijual

ALOR GAJAH – Sebanyak 250 kilogram (kg) ikan segar beku Q’Fish daripada 500kg yang dibekalkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) terjual di pasaran negeri ini sejak mula diperkenalkan dua hari lepas.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Melaka, Mohd Jamil Abdullah berkata, program Q’Fish menawarkan harga jualan sehingga 50 peratus dari harga di pasaran selain sifatnya yang tahan lama merupakan antara faktor kepada peningkatan permintaan.

Katanya, Pasar Tani Alor Gajah merupakan lokasi keempat di negeri ini selepas Sri Pengkalan, Lubok Cina dan Masjid yang menawarkan bekalan ikan segar beku Q’Fish melalui program berkenaan.

“LKIM menggalakkan pengguna agar membeli ikan segar beku Q’Fish yang dibekalkan oleh Nekmat pada harga RM8.50 bagi 1kg dan pasar tani serta Kedai Rakyat 1Malaysia yang terpilih dengan harga tidak melebihi RM10 bagi 1kg.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu rakyat dan LKIM akan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan mencukupi agar tidak membebankan pengguna,” katanya hari ini.

Mohd Jamil berkata demikian kepada pemberita pada Program Pelancaran Promosi Jualan Ikan Segar Beku Q’Fish Melaka di Tapak Pasar Tani di sini, yang dirasmikan Pengerusi Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata, penjualan Q’Fish akan diperluaskan ke seluruh negara melalui jualan terus kepada pengguna di pasar tani terpilih.

Katanya selain Nekmat, dua pusat lain yang diberi tanggungjawab untuk menjadi pusat simpanan ikan segar sejuk beku adalah Persatuan Nelayan negeri Kedah dan Persatuan Nelayan kawasan Besut di Terengganu.

Q’Fish dilancarkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong pada 3 Dis lepas sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *