Detik Hampir Meragut Nyawa Ketika Panjat Pokok Kelapa Tidak Akan Dilupakan

PENDANG – Detik mencemaskan sehingga hampir meragut nyawa pasti tidak akan dilupakan Mohd Zulhisyam Zulkifli sepanjang hayatnya.

Zulhisyam terjerut tali ketika memanjat pokok kelapa, menyebabkan pemuda berusia 23 tahun itu, terpaksa bergelut selama beberapa minit sebelum dapat diselamatkan.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada Khamis lalu, Zulhisyam berkata dia bersetuju untuk memanjat pokok kelapa selepas diminta seorang rakan yang mahu berniaga di bazar Ramadan.

“Saya hanya fikir untuk dapat duit saja sebab selalu kalau saya panjat pokok nyoq (kelapa) orang akan upah saya RM20 hingga RM30,” katanya.

Zulhisyam berkata dia memanjat pokok berkenaan seperti biasa dengan meletakkan tali di pinggang dan menyangkut di leher.

“Tak sangka pula teknik berkenaan memakan diri saya pada hari tersebut,” katanya.

Setiba di pucuk pokok kelapa, dia mengikat hujung tali pada tandan kelapa dan menggunakan parang untuk mencantas tandan kelapa berkenaan.

“Tapi akibat tersalah teknik, apabila tandan nyoq tersebut nak jatuh dia tarik sekali dengan badan saya menyebabkan tali berkenaan terjerut leher saya.

“Satu tandan ada lebih kurang 25 biji nyoq dan jumlah nyoq tu sudah cukup berat untuk tarik saya supaya jatuh bersama.

“Masa tu saya dah tak ingat apa dah hanya fikir mak dan nyawa saya saja. Saya rasa macam sesak nafas, sebak dan tak ingat apa dah, bila sedar saya dah ada di hospital.

“Mujurlah Allah bagi saya peluang untuk hidup lagi dan saya anggap ini adalah peluang bernilai buat saya,” katanya.

Video dirinya tergantung dan terkapai-kapai menjadi tular di internet. Menerusi video tersebut, jelas kelihatan Zulhisyam bergelut untuk melepaskan tali dari lehernya.

Mujur salah seorang penduduk kampung bertindak pantas dengan memanjat pokok tersebut dan melepaskan jerutan di leher pemuda malang itu.

Zulhisyam bagaimanapun kesal video dirinya ‘tergantung’ itu dispekulasikan netizen sehingga ada yan mengatakan dia berniat membunuh diri.

“Saya maafkan depa, cumanya selepas ni kalau ada kejadian yang sama macam ni kalau boleh siasat lah dulu. Kesian dekat mangsa dan keluarga mangsa yang tidak bersalah,” katanya. – ap