‘Dunia Ini Adalah Perhiasan, Dan Sebaik-Baik Perhiasan Adalah Wanita Solehah’

20/06/2017 – Rasulullah bersabda, ‘Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah’. (HR Muslim). Jadi golongan wanita mahalkanlah dirimu itu jangan menjadi terlalu mudah dan murah.

Bukan mudah untuk menjadi wanita solehah, aurat dijaga, pergaulan dipagari, dan sifat malu pengikat diri. Jangan dibangga dengan kecantikan luaran, kerana satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman. Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman, supaya diri ini bersih dan sentiasa mendapat Rahmat ilahi.

Jadi golongan wanita seperti isteri-isteri Rasulullah SAW dan isteri-isteri para sahabat baginda yang menjaga keperibadian tinggi dan mulia. Bagaimana mahu menjaga keperibadian tinggi dan mulia ikuti perkongsian Ustazah Sharifah Khasif ini.

Pertama, miliki iman. Penting setiap wanita mempunyai iman dalam diri kerana ia memelihara diri dari sebarang fitnah dan musibah. Carilah ilmu dengan sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu, sesungguhnya iman itu ada turun naiknya. Jadi sebagai manusia yang beriman kita haruslah memelihara iman itu sebaik mungkin.

Kedua, menjaga kesucian tubuh. Jaga kesucian tubuh itu seperti menjaga harta yang berharga. Tiada siapa yang boleh menyentuhnya secara sembarangan. Jangan terlalu mudah menyerahkan kesucian diri pada orang sebelum nikah.

Ketiga, bertindak dengan bijak bukan dengan kebodohan. Boleh mendengar kata hati sebagai petunjuk tetapi perlu bertimbangkan dulu sama ada kata hati itu betul atau tidak. Kita boleh menggunakan kebijaksaan dalam menilai kata hati itu baik atau tidak.

Keempat, jangan terlalu mengikut emosi. Wanita memang dikenali sebagai seorang yang cukup beremosi. Jika terlalu mengikut emosi perkara ini akan memberi kesan buruk. Wanita yang baik akan mengawal emosi dari melakukan perkara buruk.

Kelima, hormatlah ibu bapa. Wanita yang mempunyai keperibadian baik adalah wanita yang hormat ibu bapa. Hormat dengan menjaga hati, mendengar serta mendengar idea-idea mereka.

Keenam, hormat suami. Sebagai seorang isteri perlulah menghormati suami. Caranya dengan mempertimbangkan pandangan suami sebelum mencapai kesepakatan bersama dan setia bersama suami.

Ketujuh, jadi ibu yang penuh kasih sayang. Didiklah anak dengan contoh yang baik dan bantu mereka membesar menjadi lelaki dan wanita yang mempunyai keperibadian baik juga.

Kelapan, kecantikan sejati dari dalam. Tugas yang sukar bagi wanita sekarang untuk menyeimbangkan batasan antara tampil terbaik dan berpakaian sopan. Sebelum menyarungkan pakaian tanya diri sendiri adakah pakaian ini mampu menggoda orang untuk berbuat jahat dalam fikiran mahupun tindakan. Jika rasa ya, pilihlah baju yang lain.

Kesembilan, bantu orang lain. Wanita yang berperibadian baik akan sentiasa membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan atau pujian.

Mudah-mudahan setiap wanita yang mendambakan syurga akan memulakan langkah pertama dalam strategi menuju syurga. – MissA/UtaraNews.com