Filem Dangal Lakonan Aamir Khan Mendapat Kejayaan Besar di China

Beijing – Filem Bollywood, Dangal telah berjaya mengalahkan filem jenayah aksi, produksi Hong Kong-China iaitu Operation Mekong, dari senarai ‘20 Filem Berpendapatan Tertinggi di China’.

Filem yang dibintangi oleh pelakon terkenal Bollywood, Aamir Khan itu telah ditayangkan di sekitar sembilan ribu panggung wayang sejak 5 Mei 2017.

Menurut Forbes, Dangal telah memegang rekod sebagai filem non-China atau tidak berbahasa Inggeris mendapat pendapatan tertinggi di China iaitu sebanyak US$174.8 juta.

Jika filem berdurasi 161 minit itu mampu menambah dalam anggaran US$20 juta rekod pendapatannya, filem ini boleh melawan filem Avatar yang berada di kedudukan ke-15.

Walaupun masa depan perfileman India masih kabur di China, namun Aamir Khan masih mendapat tempat di dalam hati masyarakat China.

Ini kerana sebelum keluarnya filem Dangal, filem lain lakonan Aamir Khan bertajuk PK telah ditayangkan di empat ribu pawagan dan mengumpul pendapatan lebih dari US$100 juta.

Filem Dangal ini mengisahkan tentang Mahavir Singh Phogat (Aamir Khan), seorang ahli gusti amatur yang mempunyai impian untuk menjadi ahli gusti profesional.  Phogat malah, telah mengajar dua orang anak perempuanya, Geeta dan Babita Phogat menjadi ahli gusti profesional.