Guan Eng Dan Kit Siang Sebenarnya Gembira Bila Anwar Tarik Diri Jadi Perdana Menteri

20/06/2017 – ‘Drama’ yang sama akan terus berlaku dalam puak Pakatan Harapan yang kononnya dikatakan ‘bersatu’. Ini kerana masih belum ada penyelesaian berhubung pertikaian, siapa yang benar-benar ‘layak’ menjadi calon Perdana Menteri dari kalangan puak Pakatan Harapan.

Inilah puak pembangkang yang dikatakan telah bersedia mengambil alih Putrajaya, yang kononnya bersedia memikul tanggungjawab kepada negara, pada pilihan raya umum akan datang. Namun jika dilihat masalah calon perdana menteri pun tidak dapat diselesaikan, bagaimana mereka begitu mendabik dada mengatakan mereka mampu mentadbir negara?

Calon perdana menteri di kalangan pembangkang ini terus hangat diperkatakan apabila pelbagai nama dicalonkan, tidak kurang juga ada yang mencalonkan diri sendiri, sehingga membuat mereka tidak mampu mencapai kata sepakat.

Meskipun partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang hanya ada satu kerusi, namun bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun Tun Dr Mahathir masih ingin mencuba nasib dengan mencalonkan dirinya sendiri sebagai calon perdana menteri di kalangan pembangkang.

PKR pula tetap dengan pendirian mereka untuk membela dan bertegas, Perdana Menteri ke-7 adalah bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Keyakinan mereka amat menebal kerana bersandarkan kepada janji DAP yang Anwar Ibrahim disokong.

Namun, Anwar pula dalam perkembangan terbaharu, enggan namanya dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke-7. Konon-kononnya, Anwar mahu memberikan peluang kepada pemimpin generasi muda untuk memimpin Malaysia.

Drama tarik simpati yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim sebenarnya amat mudah difahami. Anwar mahukan simpati. Daripada simpati itu, Anwar menjangkakan akan memperolehi sokongan yang lebih besar daripada rakyat Malaysia sepertimana yang berlaku pada tahun 1998.

Itulah cara licik Anwar. Hakikatnya, sudah lama mengidamkan untuk jawatan nombor satu negara itu. Tidak mungkin beliau akan melepaskannya dengan begitu mudah. Tetapi sekatan undang-undang pula menjadi realiti. Anwar Ibrahim hanya akan bebas pada penghujung 2018.

Selepas itu, Anwar perlu menunggu ‘perintah berkurung’ selama lima tahun lagi tanpa boleh mencalonkan atau dicalonkan untuk sebarang jawatan mahupun terlibat dalam sebagai calon dalam pilihanraya. Anwar hanya boleh menjadi calon semula dan terlibat aktif dalam politik memburu jawatan Perdana Menteri pada PRU-19 iaitu pada usianya sudah pun pertengahan 70-an.

Parti rasis dan cauvinis DAP pun tidak ketinggalan berdrama yang cuba berlakon, kononnya kecewa Anwar enggan dicalonkan sebagai Perdana Menteri walaupun sebenarnya itulah yang diharapkan oleh Lim Guan Eng dan DAP.

“Ini adalah kali pertama saya mendengar ini, saya tidak tahu mengenainya. Kedudukan kami tetap sama, kami menyokong Anwar sebagai calon PM.

“Saya rasa ia hanya sesuai untuk PKR, Kak Wan (presiden PKR dan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail) untuk memberi komen mengenai keputusan ini,” kata Guan Eng.

Sekarang bahkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti, parti rasis dan cauvinis DAP adalah parti yang paling dominan dalam Pakatan Harapan.

Bayangkan jika puak Pakatan Harapan berjaya memperolehi penguasaan majoriti lebih 112 kerusi Parlimen, DAP sudah tentulah akan menjadi pemenang paling banyak kerana cabaran DAP jauh lebih rendah berbanding PKR, PAN dan PPBM yang akan berhadapan dengan UMNO, parti-parti Bumiputera dan komponen Barisan Nasional serta PAS.

Umum mengetahui di kerusi-kerusi luar bandar, PAS dan UMNO lebih dominan berbanding PKR mahupun PAN dan PPBM. PPBM dan PAN pula dilihat cuba berebut kerusi-kerusi FELDA bagi memujuk DAP.

Walau siapa pun yang akan mencalonkan diri, Perdana Menteri sebenar puak Pakatan Harapan adalah Guan Eng manakala Lim Kit Siang pula akan menjadi penasihat diktator yang akan menentukan hitam putih keputusan Pakatan Harapan.

Dengan penguasaan ke atas jawatan-jawatan penting seperti Speaker Dewan Rakyat dan kementerian-kementerian strategik yang lain, DAP sebenarnya yang akan membuat segala dasar dan polisi walaupun Mukhriz yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kuasa mutlak akan berada di tangan Guan Eng. Hitam katanya, hitamlah keputusannya. Putih katanya, putihlah katanya. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *