Guan Eng Tak Berani Tunjuk Bukti Jual Tanah Rakyat Di Peel Avenue

20/06/2017 – Inilah Ketua Menteri yang memegang 20 lebih jawatan dalam negeri boleh disifatkan tidak sedar diri dan muka tembok. Sudah banyak kerosakan yang dilakukan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pimpinan beliau, namun jeliknya masih ingin memutarbelitkan cerita untuk menunjukkan beliau tidak salah.

Sepanjang sembilan tahun kerajaan DAP memerintah di negeri Pulau Pinang, sudah terlalu banyak kerosakan yang telah dibuat sehingga tidak terkira. Sebagai contohnya, isu kontroversi berhubung penjualan tanah awam di Lebuh Raya Peel oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang terus hangat diperkatakan dan dipertikaikan.

Tanah itu baru-baru ini dipajak kepada Hospital Island Pulau Pinang, yang pemegang sahamnya adalah rakyat Singapura. Guan Eng yang juga merangkap Setiausaha Agung DAP terus dibidas kerana tidak mengadakan sistem tender terbuka.

Alasan mudah Guan Eng, tender terbuka tidak perlu kerana projek Hospital Island dianggap sebagai pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri bernilai tinggi.

Malah Guan Eng terus mempertahankan bahawa harga jualan RM156 juta bukan di bawah nilai pasaran kerana ia adalah sama dengan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kerajaan Persekutuan atau JPPH.

Sebelum ini, Gerakan Negeri Pulau Pinang mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang itu untuk menunjukkan bukti bahawa kerajaan negeri tidak dikendalikan oleh “kata putus satu individu” semata-mata.

Malah, Guan Eng juga dicabar membuktikan beliau bukan satu-satunya pembuat keputusan di Ketua Menteri Diperbadankan (CMI) dan mendedahkan minit mesyuarat syarikat mengenai penjualan 6.4 ekar tanah utama kepada Island Hospital Group pada harga RM156 juta.

Jika ketua menteri gagal berbuat demikian, Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo menyifatkan ia membuktikan slogan ‘CAT’ (kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan) kerajaan negeri hanya satu ayat kepura-puraan buatan DAP bagi meyakinkan rakyat supaya menyokong mereka.

“Ini bermakna kedua-duanya disembunyikan,” kata Loo secara berjenaka.

Loo berkata, Seksyen 3 dan 4 Enakmen Ketua Menteri Diperbadankan 2009 memberikan kuasa kepada ketua menteri selaku pihak berkuasa tunggal untuk membuat kontrak, memperoleh, memegang atau menikmati harta alih atau tak alih, menjual, gadai janji atau melupuskan mereka.

“Jadi, saya telah menunjukkan kepadanya bukti bahawa keputusan kerajaan negeri ditentukan oleh seorang individu,” kata Loo sambil mencabar Guan Eng untuk menyanggah dakwaan tersebut.

Namun, Guan Eng hari ini memutarbelit dengan menyifatkan kononnya Loo gagal mengemukakan bukti berwajib berhubung penjualan plot tanah milik Kerajaan Negeri di Peel Avenue secara ‘solo’ kepada Island Hospital.

“Tidak logik dia (Jason) menuduh tanah ini dijual secara ‘solo’ (seorang individu) dan minta saya pula mengemukakan bukti.

“Kemudian, menuduh saya menyembunyikan sesuatu apabila tidak (menerima cabarannya) mengfailkan saman di mahkamah.

“Adakah dia (Jason) telah gagal mengemukakan bukti dakwaannya bahawa penjualan tanah ini diputuskan oleh saya seorang diri, dan bukan dalam mesyuarat Exco,” kata Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Malah, Guan Eng meluahkan rasa kesalnya dengan dua akhbar berbahasa Cina iaitu China Press dan Kwong Wah Yit Poh kononnya kerana masih menyiarkan tulisan ‘tidak bertanggungjawab’ Jason Loo sehingga kini.

“Politik Gerakan cukup tidak bertanggungjawab, menyalahgunakan akhbar berbahasa Cina untuk siar kenyataan tak bertanggungjawab dia (Jason Loo).

“Tulisan Jason Loo (Jason) disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina sahaja, mungkin kerana (akhbar berbahasa Melayu seperti) Sinar Harian tiada minat tulis itu berita fitnah,” dakwanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Enakmen Ketua Menteri Pulau Pinang (Pemerbadanan) 2009 adalah sama dengan inti perundangan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI).

Justeru, Guan Eng cuba mengingatkan Loo sepatutnya tidak mempertikai kaedah penjualan tanah oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI), susulan mendapat persetujuan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Terdahulu, Guan Eng menafikan bahawa beliau langsung tidak pernah menandatangani perjanjian jual beli tanah, sama ada bagi pihak Kerajaan Negeri atau CMI.

“Saya tidak pernah menandatangani walau satu perjanjian (jual beli tanah) sekalipun bagi pihak Kerajaan Negeri dan CMI (Perbadanan Ketua Menteri).

“Kerana dia (Gerakan) tak boleh menunjukkan bukti, lihat pada undang-undang pun menunjukkan tidak betul kerana seorang Ketua Menteri tiada kuasa untuk berbuat demikian.

“Dan, undang-undang tersebut juga menjelaskan bahawa keputusan (jual beli tanah) mestilah dibuat melalui Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Meksipun Guan Eng cuba memberi penjelasan demi penjelasan apabila diasak, namun alasan yang diberikan hanya memakan dirinya sendiri. Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengeluarkan alasan yang menimbulkan banyak lagi persoalan tentang integriti diri beliau.

Kebanggaan palsu yang sering dipertontonkannya, mula memakan diri. Slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) bangga dilaung-laungkan Kerajaan DAP boleh disifatkan mati. Ini kerana segala tindakan mereka selama ini tidak seperti yang dilaung-laungkan. – Utaranews.com