Hairul Azreen Tak Mahu Yusuf Iskandar Terima Nasib Yang Sama Sepertinya

Sedih pula mendengar cerita pelakon Hairul Azreen yang tidak mempunyai banyak memori tentang zaman kanak-kanaknya.

Cerita Hairul, perkara itu disebabkan banyak gambarnya ketika kecil musnah dalam satu kejadian banjir yang menimpa kediaman keluarganya suatu ketika dahulu.

Atas sebab itu juga, dia membuka profil Instagram untuk anak lelakinya, Yusof Iskandar kerana mahu anaknya itu dapat melihat kembali kehidupannya sejak kecil apabila dewasa kelak.

“Sebenarnya sebab utama saya membuka akaun Instagram untuk Yusof bukan kerana ingin mengejar glamor sebaliknya ingin mengumpul gambar-gambarnya dari kecil sehingga dewasa sebagai kenangan.

“Saya sedih kerana banyak gambar ketika saya kecil sudah tiada kerana musnah akibat rumah kami dilanda banjir.

“Jadi saya tidak mahu perkara sama berlaku kepada Yusof dan sebab itu saya banyak mengambil gambarnya untuk tatapan dia pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Hairul berkata, dia memang tidak pernah menyangka Instagram anaknya itu mendapat sambutan luar biasa peminat dan sehingga kini ia mempunyai 1.5 juta pengikut.

“Saya memang tidak ada niat buka akaun itu untuk mendapatkan perhatian dan pengikut cuma saya ingin mengabadikan kenangan anak.

“Tetapi tidak sangka pula dia diminati ramai dan mempunyai pengikut yang cukup ramai, Alhamdulillah rezeki dia,” katanya.

Bercakap mengenai sambutan lebaran, Hairul berkata, dia tidak bercadang untuk bercuti ke luar negara seperti sesetengah orang sebaliknya ingin berhari raya bersama keluarga.

Kata Hairul, itu adalah masa untuk mereka berhimpun dan saling bermaaf-maafan selain mengambil peluang itu untuk menziarahi sanak-saudara.

“Sementara kita masih ada keluarga, lebih baik raikan bersama mereka dan bukannya bercuti ke luar negara.
“Sambil-sambil itu boleh juga Yusof kutip duit raya,” selorohnya. – ms