Imam Cilik Jadi Rebutan Di Bulan Ramadan

INSTITUSI maahad tahfiz di negara ini semakin mendapat pengiktirafan masyarakat apabila menerima banyak jemputan menjadi imam solat tarawih sama ada di kampung dan di bandar besar.

Selain mengimamkan solat tarawih, mereka turut mengendalikan program keagamaan, malah sering dijemput menyertai apa sahaja program yang dilaksanakan masyarakat sekitar.

Sekalipun usia masih belasan tahun, namun kemampuan mereka menghafal al-Quran menjadi tarikan kepada orang ramai sekali gus mendekatkan mereka kepada masyarakat.

Penyelia Imam Terawih Maahad Tahfiz Al-Azhari (MTAZ), Mohamad Hamdan Ibrahim berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada masyarakat sekitar untuk imam tarawih termasuk dari luar Kelantan.

Katanya, permintaan tersebut akan dipertimbangkan sebaik mungkin dengan mengambil kira kemampuan dan kebolehan pelajar.

“Setiap pelajar yang berminat dan dicadangkan guru mereka untuk menjadi imam tarawih akan melalui proses temu duga bagi memastikan mereka betul-betul layak dan mampu melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

“Pada tahun ini, kita menemu duga kira-kira 30 pelajar bagi memenuhi 13 permintaan daripada surau dan madrasah. Daripada jumlah itu, 20 pelajar dipilih. Ramai pelajar menunjukkan minat tetapi mereka yang benar-benar layak sahaja akan dihantar,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, program imam tarawih tersebut tidak mengenal usia pelajar dan mereka yang layak dan lulus temu duga akan menyertainya.

Katanya, tahun ini, pelajar termuda MTAZ yang menyertai program itu berusia 14 tahun dan menjadi imam tarawih di madrasah sebuah taman perumahan di Tanah Merah.

Gemuruh pertama kali jadi imam

Berkongsi pengalaman sebagai imam tarawih termuda di MTAZ, Muhammad Habib Syamsuddin, 14, berkata, dia mula bertatih menjadi imam sejak di tingkatan satu di madrasah berdekatan kediamannya.

Katanya, sejak itu, dia mula membina keyakinan diri dan menimba pengalaman sebelum diundang menjadi imam tarawih pada tahun ini.

“Pertama kali menjadi imam tarawih, perasaannya berbeza tapi saya kuatkan diri dan melakukan yang terbaik. Alhamdulillah, ahli jemaah gembira dan memberi sokongan kepada saya.

“Jika ada salah, mereka akan tegur dengan cara baik dan saya menerimanya sebagai satu proses pembelajaran buat saya,” katanya.

Bagi Amirun Asfa Jalalludin, 15, pengalaman pertama menjadi imam meninggalkan kenangan tidak boleh dilupakan apabila bacaannya sedikit tergagap.

Katanya, bacaan tersebut menjadi terganggu apabila dia mula gemuruh, namun dapat mengawalnya tidak lama kemudian.

“Saya bukan tak ingat tapi terlalu gemuruh memandangkan ramai ahli jemaah ketika itu dan saya tidak mengenali mereka.

“Setelah beberapa hari bersama mereka, saya gembira malah menerima layanan baik daripada penduduk termasuk diajak berbuka puasa bersama-sama,” katanya yang menjadi imam di Madrasah Taman Sri Pauh, dekat Temangan.

Sementara itu, Wan Eilmie Al-Hafiz Wan Pakuru, 16, berkata, peluang menjadi imam tarawih cukup bermakna buatnya dan rakan seusia.

Katanya, banyak yang dipelajari sepanjang bergelar imam tarawih sejak setahun lalu dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada masyarakat.

Tambahnya, selain sokongan tenaga pengajar di MTAZ, mereka juga mendapat dorongan penduduk kampung yang sentiasa positif sekalipun ada kesilapan kecil dilakukan.

“Ada penduduk tegur tajwid dan sebagainya, tapi bagi kami itu adalah proses belajar dan sentiasa menerimanya dengan hati terbuka.

“Saya gembira bersama masyarakat dan mereka pula menganggap kami seperti anak sendiri,” katanya yang berasal dari Kuala Krai. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *