Iran layak ke pusingan Akhir Piala Dunia selepas tewaskan Uzbekistan

TEHRAN – Penduduk Iran meraikan kejayaan pasukan bola sepak negara mereka menempah slot ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 dengan menewaskan Uzbekistan 2-0 menerusi jaringan Sardar Azmoun dan Mehdi Taremi.

Gol Azmoun pada pertengahan babak pertama di Stadium Azadi meletakkan pasukannya pada landasan baik untuk ke Rusia sebelum Taremi menambah jaringan pada lewat permainan bagi membolehkan Iran beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia dua kali berturut-turut untuk pertama kali, lapor Reuters.

Juara Asia tiga kali, yang terlepas peluang untuk menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas perlawanan disambung semula, merupakan negara kedua layak ke Piala Dunia selepas juara lima kali, Brazil menempah tiket untuk beraksi pada kejohanan yang disertai 32 buah pasukan.

Presiden Iran, Hassan Rouhani yang mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak negara itu berkata menerusi akaun Twitter: “Kejayaan anda membuatkan kami semua gembira… Anda semua telah melaksanakan tugas dengan baik untuk layak ke Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia,”.

Beribu-ribu penduduk Iran membanjiri jalan raya selepas perlawanan yang diadakan di Tehran itu tamat manakala penduduknya juga menari, mengibarkan bendera dan membunyikan hon di seluruh negara.

“Orang ramai berteriak ‘Iran, Iran’… Ia seperti karnival. Kami gembira dan bangga dengan pasukan kami,” kata penyokong Iran, Reza Ghanbari di Dataran Tajrish, Tehran.

Kemenangan tersebut bermakna, pasukan yang dibimbing jurulatih warga Portugis, Carlos Queiroz sekurang-kurangnya akan menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A pada pusinga akhir kelayakan Asia.

Uzbekistan yang berada di tempat ketiga ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu kumpulan dengan berbaki dua perlawanan.

Dua pasukan teratas pada setiap kumpulan kelayakan Asia layak secara automatik ke pusingan akhir manakala pasukan yang menghuni di tangga ketiga akan beraksi dalam pelawanan kalah mati timbal balik untuk melayakkan diri.

Azmoun membuka jaringan pada minit ke-23 hasil umpanan tepat Alireza Jahanbaksh bagi membolehkan penyerang FC Rostov yang tidak dikawal pertahanan Uzbekistan menewaskan penjaga gol, Aleksandr Lobanov.

Kapten, Mosoud Shojaei mensia-siakan peluang untuk menambah jaringan lima minit pada separuh masa kedua apabila sepakan penalti yang diambilnya melepasi palang gol. Iran dihadiahkan sepakan penalti setelah Taremi dikasari Akmal Shorakhmedov.

Taremi menjaringkan gol kedua pada minit-minit akhir perlawanan menerusi rembatan lencong ke penjuru gawang yang mencetuskan sorakan penyokong tuan rumah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *