Jangan Buat ‘Loan’ Kalau Nak Kahwin, Nanti Menyesal Kemudian Hari

19/06/2017 – Siapa yang tak inginkan perhubungan berakhir dengan perkahwinan bukan? Tengok kawan-kawan banyak yang sudah berkahwin, terdetik dalam hati rasa cemburu. Tapi, masalahnya nak kahwin tapi duit tak cukup.

Ramai orang sekarang nak kahwin ini semata-mata berangan nak jadi Raja Sehari saja. Bila duit tak cukup, cara paling mudah dilakukan anak muda sekarang untuk berkahwin adalah dengan membuat pinjaman peribadi. Berhutanglah jawabnya hanya kerana mahu puaskan hati semua pihak. Bukan tak boleh, tapi cuba fikir dulu kesan jangka panjang jika membuat pinjaman peribadi untuk berkahwin.

Pertama, komitmen tinggi. Pinjaman peribadi ini akan menganggu kewangan anda selepas berkahwin. Komitmen sedia ada akan meningkat apabila terpaksa mambayar ansuran bulanan pinjaman peribadi ini. Ini akan mula terasa beban apabila anda dikurniakan cahaya mata sebulan dua selepas berkahwin.

Jika gagal untuk membuat pembayaran ansuran setiap bulan, secara automatik nama akan disenarai hitamkan oleh pihak bank. Ia akan memberi kesan terutamanya pada anda yang mengimpikan membeli rumah sendiri. Disebabkan pinjaman peribadi, rumah yang merupakan keperluan terpaksa dilupakan dan terus hidup menyewa.

Kedua, tak dapat menyimpan. Rata-rata apabila mempunyai pinjaman peribadi memang susah untuk menyimpan setiap bulan disebabkan duit digunakan untuk membayar ansuran hutang tadi. Logiknya kalau buat pinjaman RM50,000 ansuran perlu bayar lebih kurang RM400-RM500 sebulan. Belum ditambah dengan perbelanjaan lain lagi dan jika ada anak perlu beli barang keperluan anak setiap bulan, akhirnya tinggal berapa ringgit saja untuk diri sendiri.

Ketiga, susah beli rumah. Seperti yang ditulis di point pertama, perkara ini berlaku disebabkan komitmen yang bertambah. Sepatutnya pasangan berkahwin mempunyai rumah sendiri daripada menyewa. Kalau nanti bilangan keluarga semakin besar, adakah mampu hidup menyewa di dalam rumah yang sepatutnya muat untuk bilangan keluarga yang sedikit sahaja?

Jika terus menyewa disebabkan jumlah keluarga semakin banyak, anda terpaksa menyewa di rumah yang lebih besar dan sewa bulanan rumah pula semakin meningkat.

Keempat, tiada pelaburan. Semua orang tahu pelaburan dapat membantu meningkatkan kewangan seseorang individu untuk jangka masa sederhana dan panjang. Tetapi, perkara ini tidak dapat dilakukan kerana anda gagal untuk membuat simpanan. Banyak saja skim pelaburan patuh syariah seperti unit trust, emas, saham dan sebagainya. Lebih tinggi risiko, lebih tinggi pulangan yang boleh diraih.

Jadi kesimpulannya, tak guna buat pinjaman banyak-banyak sebab nak majlis kahwin hebat tetapi akhirnya hidup nak bayar hutang saja. Berkahwin ini nak hidup bahagia bersama pasangan tapi bila hidup dibelenggu hutang, boleh bergaduh bertekak setiap hari hanya pasal duit saja. – MissA/UtaraNews.com