Jangan Pernah Bertangguh Bayar Hutang

19/06/2017 – Dalam hidup ini, hampir semua orang pernah berhutang. Hutang itu dikatakan berlaku apabila kita tidak mempunyai sebarang duit untuk teruskan kelangsungan hidup. Namun kini ramai yang berhutang kerana menambah apa yang dimiliki bukan kerana betul-betul terdesak memerlukan duit untuk kelangsungan hidup.

Apa pun bentuk hutang, seelok-eloknya dilangsaikan secepat mungkin. Jangan bertangguh membayar hutang jika berkemampuan. Lebih penting catatlah segala hutang yang telah dibuat.

Seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai adik merupakan graduan degree berkongsi pengalaman hidupnya yang terbeban dengan hutang. Sudahlah baru terkapai dalam dunia pekerjaan dan kini dihantui dengan lambakan hutang. Jika pelajar ‘hutang’ yang sering dikaitkan adalah pinjaman pendidikan seperti PTPTN, MARA dan lain-lain lagi.

Lelaki ini mempunyai hutang pinjaman pelajaran dengan MARA dan juga terdapat banyak hutang lain seperti hutang MLM, kawan-kawan, dan banyak lagi. Di bulan Ramadhan yang mulia ini lelaki ini telah berdoa pada Allah semoga dimudahkan untuk melangsaikan hutang dan bebas dari hutang. Sejak daripada doa itu, satu persatu Allah seperti memperingatkan balik segala ‘hutang’.

“Awal-awal kerja elok saja aku boleh bayar installment hutang aku. Tapi awal RAMADHAN ini aku selalu doa pada Allah supaya mudahkan aku langsai hutang dan bebaskan aku dari hutang. Sejak daripada aku doa-doa macam itu, satu persatu aku teringat balik ‘hutang’ yang lain selain MARA. Iaitu hutang masa aku masuk MLM dulu. Masa aku habis diploma, sementara nak masuk degree aku join MLM. Aku punya skill cari orang bawah memang baik, jadi aku dapat tarik ramai orang.”

“Bulan-bulan pendapatan aku cecah 2k hanya mengadap laptop buat ayat best. Tapi aku main benda ini tak sampai 6 bulan lepas itu berhenti dan terus sambung degree. Aku main MLM ini guna fb fake. Aku buat fb itu pakai gambar orang lain yang tak ada muka, aku kumpul friend sampai ribu-ribu baru aku start marketing. Memang dapat duit banyak tapi tak ada berkatnya dapat duit hasil tindas orang.”

“Ada yang join adalah kawan aku sendiri yang langsung tak tahu itu aku. Teruk betul aku, sangkutkan kawan sendiri tanpa mereka sedar. Dengan identiti palsu, aku bagi janji yang tinggi melangit pada mereka yang mereka boleh kaya cepat. Tapi kesian, mereka susah dapat hasil akhirnya mereka dan start argue pasal MLM ini. Aku block mereka dan malas ambik tahu.”

“Dekat 4 tahun berlalu, banyak ramadhan dah muncul tapi mungkin sebelum ini aku tak pernah doa pasal nak bebas hutang, aku terus lupa pasal ni sampai lah ramadhan tahun ni. Satu persatu Allah ingatkan balik sampai murung aku nak tengok mereka di fb. Sekecil-kecil hutang RM10 yang selama ini aku terlupa pun aku teringat balik tahun ini. Padahal hutang itu dah lapuk tapi Allah ingatkan aku dengan siapa aku berhutang dan aku cari balik.”

“Dengan hutang MARA lagi, bayar sewa rumah lagi, duit minyak motor, line semua. Duit bulan-bulan hulur ke orang tua di kampung buat duit pasar lagi. Aku tersepit gila dengan gaji pun paras hidung setakat 1.2k bersih dah tolak socso epf. Aku try teknik bayar hutang snowball, langsaikan hutang yang berjumlah sikit dulu. Mereka terpinga-pinga bila aku bayar tapi aku buat tebal muka saja dan cakap sorry lambat gila bayar.”

“Nasib baik sekarang aku ingat, kalau aku lupa sampai bebila? Menyesal sebenarnya tak catat dari dulu masa aku berhutang. Sekarang ini pasal MLM itu saja aku pening, berpuluh orang dulu aku tarik. Kesian orang yang masuk bawah aku tapi tak ada hasil. Duit mereka sebahagiannya dah masuk jadi darah daging aku. Aku dah jumpa salah sorang yang aku tak kenal dulu, yang aku ingat nama fb dia, aku pm jelaskan balik. Mintak no akaun, bank in yuran mahal yang dia bayar dulu dan minta maaf. Lega satu hutang dah selesai.”

“Tiap-tiap malam aku menangis air mata jantan pasal benda ini. Aku harap ada yang baik hati boleh share atau suggest benda yang boleh tolong sikit sebanyak masalah aku. Aku akui aku bodoh dan tamak dulu, aku minta maaf. Aku janji dengan diri aku, aku akan bayar juga macam mana pun. Akhir sekali, aku ada tiga pesanan.”

“Pertama, kau berhutang dengan orang tolong lah catit. Tak kira sekecil mana pun jumlahnya. Kedua, jangan terlibat dengan MLM. Ketiga, kau bebaskan dulu diri kau dari hutang. Jangan sampai hutang dah bertimbun baru nak ingat. Usahakan bayar sebelum kau lemas dalam hutang beriban-riban. Makin kau tangguh makin berpeluh, menangis air mata darah nak bayar,” tulisnya.

Justeru itu, berusahalah untuk melangsaikan segala hutang yang ada. Didunia mungkin kita boleh melarikan diri dari membayar hutang, tetapi bila kita mati, kesannya amat berat. Jika meninggal dan membawa hutang, ia akan terhalang masuk syurga meskipun mati syahid. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *