Jiran bising jadi punca ditetak..

LELAKI cedera di lengan kanan dan kedua-dua paha selepas ditetak jiran dengan parang panjang di tempat letak kereta rumahnya di Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kulim.

Mangsa berusia 52 tahun cedera selepas ditetak suspek, 49, pada kejadian 4.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata kejadian itu bermula dengan pertengkaran.

Menurutnya, keadaan kemudian bertukar menjadi ganas apabila suspek mengambil parang dan terus menetak mangsa.

Beliau berkata, seorang lagi jiran mereka yang menyedari pergaduhan itu kemudian terus menghubungi polis dan ambulans.

“Polis yang tiba di tempat kejadian kemudian menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah sebelum diberi rawatan dan dihantar ke Hospital Parit Buntar, Perak.

“Bagaimanapun, akibat kecederaan serius mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ku Mashariman berkata, suspek yang berada di lokasi kejadian turut ditahan dan direman tiga hari bermula hari ini.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati mangsa sering membuat bising.

“Kita turut merampas parang panjang digunakan dalam kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *