Kerajaan Negeri Kedah Sedia 10 Buah Bas Untuk Mahasiswa Kedah Di Seluruh Negara

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah menyediakan 10 buah bas kepada mahasiswa anak Kedah yang menuntut di universiti di seluruh negara, untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, bas yang boleh menampung 40 penumpang bagi setiap bas itu akan mula bergerak ke Kedah dari Kuala Lumpur bermula Khamis ini.

“Ini merupakan tahun kedua kerajaan negeri memberi bas percuma kepada pelajar universiti yang berasal dari Kedah selepas pelaksanaan kali pertama tahun lepas mendapat sambutan yang baik.

“Kita menerima permintaan daripada para pelajar supaya kerajaan negeri terus menyediakan perkhidmatan bas percuma ini sempena Aidilfitri dan ia telah dipersetujui oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tajul Urus berkata, dengan kemudahan bas itu, pelajar dapat menjimatkan perbelanjaan pengangkutan selain dapat pulang ke kampung dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat.

“Semasa saya menyambut ketibaan mereka di Sungai Petani tahun lepas, ibu bapa pelajar menyatakan bahawa mereka tidak bimbang dan berasa lebih selamat dengan adanya bas yang disediakan kerajaan negeri itu,” katanya. – Bernama