Lelaki Orang Asli Tetak Nenek Sendiri Sehingga Mati

KUANTAN – Seorang lelaki Orang Asli yang mendakwa dirinya “tidak sihat” menetak mati neneknya selain mencederakan bapa mentua dan mencucuh muka isterinya dengan bara api dalam kejadian di sebuah perkampungan Orang Asli di Pos Lejang di Lipis semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azry Akmar Ayob berkata kejadian jam 8 pagi itu berlaku apabila suspek berusia 32 tahun pergi rumah neneknya berusia 76 tahun untuk makan, namun dimaklumkan rumah itu tiada makanan.

“Mangsa (nenek) memberitahu mahu membawa suspek berubat kerana kelakuannya agresif. Suspek kemudiannya masuk ke rumah dan mengambil parang lalu melibas di belakang leher mangsa menyebabkan mangsa terus rebah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Azry Akmar menambah suspek yang bekerja sendiri itu kemudiannya berlari ke rumahnya yang terletak kira-kira 600 meter dari tempat kejadian dan menetak bapa mentuanya di belakang badan dan di leher.

Beliau berkata lelaki berumur 56 tahun itu bergelut dengan suspek dalam keadaan cedera sebelum dibantu seorang pemuda kampung yang berjaya menangkap suspek dan mengikat tangan serta kakinya sementara menunggu ketibaan polis.

Azry Akmar berkata sebelum kejadian itu, suspek mencucuh muka isterinya yang berumur 21 tahun menggunakan bara api semasa wanita itu datang ke rumah kakak suspek untuk melihat suaminya itu yang dikatakan pengsan.

“Suspek ke rumah kakaknya selepas bangun tidur pada pukul 8 pagi untuk makan, namun mendakwa timbul satu perasaan yang menyebabkan dirinya tidak tentu arah sebelum pengsan sebaik sahaja tiba di rumah kakaknya.

“Isteri suspek datang untuk melihat keadaannya namun melarikan diri selepas mukanya dicucuh dengan bara api yang digunakan untuk memasak. Suspek kemudiannya bergerak ke rumah neneknya yang terletak 100 meter dari situ,” katanya.

Azry Akmar berkata suspek ditahan pada 3.50 petang semalam memandangkan perkampungan Orang Asli itu terletak 40 kilometer dari bandar dan hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan 4 roda dengan masa perjalanan 3 jam.

“Mayat dibawa ke Hospital Lipis dan bedah siasat akan dilakukan hari ini, manakala isteri dan bapa mentua suspek juga menerima rawatan di hospital sama. Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis dan akan direman hari ini,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *