Lelaki Perlu Buat Persediaan Perkara Ini Dulu Sebelum Kahwin

19/06/2017 – Menjadi suami bukan semudah A,B,C apabila sudah sah bergelar suami sahaja banyak tanggungjawab yang perlu dipikul oleh suami. Jadi sebelum bergelar suami adalah lebih baik melakukan persedian dahulu. Tidak kiralah persediaan umum atau khusus. Persedian ini perlu dibuat kerana perkahwinan ini bukanlah sesuatu yang kecil dan mudah.

Jika persediaan itu sudah cukup, barulah seseorang itu berasa lebih yakin untuk melangkah ke alam perkahwinan yang penuh duri dan ranjau. Persediaan minda dan kerohanian, fizikal ekonomi dan sosial amat penting.

Untuk yang berhajat nak berkahwin, anda haruslah melihat ke hadapan serta berpandangan jauh. Bukan sekadar pandai melafaz ketika didepan tok kadi tetapi melakukan persediaan sebelum menempuhi halangan di depan.

Lelaki ini berkongsi persediaan yang diperlukan sebelum berkahwin. Ikuti tip-tip ini supaya memberi manfaat kepada anda. Tidak salah membuat persediaan ini supaya kita tidak terkejut dengan duri dan ranjau yang bakal di hadapi ketika berumah tangga kelak.

Pertama, buat simpanan kahwin. Bukan nanti bila nak kahwin buat permbiayaan peribadi. Pandai uruskan gaji dengan baik untuk menyimpan. Sudah menyimpan, baru baki yang ada digunakan buat belanja.

Kedua, tak menggelupur beli kereta import mewah, pakai iPhone, bercuti luar negara dan terlalu ikut trend. Akhirnya memakan diri sendiri bila tiada langsung simpanan.

Ketiga, tambah ilmu pengurusan kewangan. Belajar bagaimana menguruskan kewangan dengan baik. Ramai mentor-mentor kewangan di luar sana yang boleh bantu.

Keempat, tambahkan kemahiran asas. Jangan semua benda nak upah orang, semua benda nak beli. Do It Yourself (DIY) lebih menjimatkan. Paling tidak mesti tahu tukar mentol lampu, tukar gas masak, tukar minyak hitam kereta, tukar bateri kereta sendiri.

Kelima, tak perlu nak “reward yourself” sangat lah, jika dapat gaji terus reward yourself sampai habis RM500-RM600. Bila masanya nak menyimpan? Suruh masuk RM5 dalam tabung masjid pun terketar-ketar tangan.

Keenam, daripada habiskan duit makan di kedai mamak lebih baik berjimat dengan masak sendiri di rumah. Boleh mengasah bakat sebagai tukang masak dan bila dah kahwin nanti boleh bantu isteri memasak di dapur.

Ketujuh, download aplikasi untuk tracking kewangan. Barulah kau tahu ke mana wang kau menghilang. Boleh muat turun aplikasi “Money Manager Expense & Budget”, ataupun “My Tabung BNM” (dibangunkan oleh Bank Negara Malaysia). Aplikasi ini membantu pengguna untuk membuat bajet, memantau pendapatan, simpanan dan perbelanjaan. Download My Tabung dari Apple Store atau Google Play.

Kelapan, beli barang terpakai, bundle pun ada yang elok juga. Tak perlu nak pakai yang berjenama. Ukur baju di badan sendiri, jangan sebabkan nak up-to-date merana kemudian hari. Tukar pada jenama lebih murah, jenama baju dekat Mydin juga berkualiti.

Kesembilan, jangan beli kereta lagi jika masih bujang. Beli motor dulu dan beli saja motor Honda EX5, boleh jimat minyak. Sebulan dalam RM20, bukan sehari RM20! Kalau awek tanya kau pergi kerja naik apa, dengan bangganya kau boleh jawab “pakai Honda.”

Kesepuluh, biar pakai motosikal tapi dah ada rumah sendiri, jadi tuan rumah. Duduk rumah percuma, tak macam kawan sejawat kau, pakai Honda Civic tapi masih menyewa.

Sebelas, jangan tunggu gaji dah besar baru nak mula melabur. Melaburlah ikut kemampuan dalam instrumen pelaburan yang sah dan halal. Pelaburan saham di Bursa Malaysia itu pun ramai yang tak tahu lagi. Hari ini satu sumber pendapatan saja tidak cukup. Paling kurang kena ada pendapatan kedua iaitu dari sumber pelaburan. Bila berjaya dapat pendapatan ekstra itu jangan lupa berzakat.

Persediaan sebelum berkahwin ini memang sangat penting, kerana setiap orang pasti mahu membahagiakan pasangan masing-masing. Siapa yang mahu berkahwin selepas itu isteri dan anak-anak terpaksa hidup dalam keadaan susah. Buatlah simpanan atau pelaburan supaya jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kita masih mempunyai simpanan. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *