Mahathir sengaja mahu negara dan rakyat tidak tenteram

Gerakan hari ini membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana sengaja membangkitkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dengan menyatakan bahawa kerajaan yang memerintah akan menahan pemimpin dan menghalang demonstrasi awam bagi menyekat pengaruh pembangkang.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, Dr Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah tersilap dan tindakan itu merupakan sebahagian daripada rancangannya memandangkan beliau kini disenaraikan untuk kembali menjawat jawatan perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Mahathir membuat dakwaan tidak berasas dan berniat jahat untuk memburuk-burukkan kerajaan yang memerintah. Adalah malang apabila bekas perdana menteri beralih kepada taktik menakut-nakutkan dalam usaha menjauhkan sokongan politik terhadap kerajaan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengkritik kepimpinan kerajaan yang memerintah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwanya telah menimbulkan rasa gentar di kalangan pembangkang dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang.

“Negara masih ingat demonstrasi Bersih 5. Dia (Najib) menyatakan yang dia tidak akan sekat. Tetapi kita semua tahu apa yang dia bermati-matian lakukan untuk menghalang demonstrasi daripada diteruskan sama sekali atau untuk mengurangkan skalanya,” kata Dr Mahathir dalam blognya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *