Menang dulu baru boleh cerita pasal jawatan MB Kelantan

“Pastikan menang dahulu dan apabila menang, sesiapa pun boleh jadi Menteri Besar,” kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, selepas parti tersebut menang, barulah boleh melantik siapa Menteri Besar ketika itu.

“Yang penting, pastikan menang dahulu dan Pas tidak campur tangan dia (parti itu) nak pilih siapa Menteri Besar kerana itu adalah hak parti yang menang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya di kediaman Ahli Parlimen Bachok, Marzuk Shaary di Gunong, hari ini.

Semalam, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyuarakan dalam ucapan di Majlis Sambutan  Aidilfitri Parti Amanah dengan menjangkakan Pakatan Harapan menamakan Naib Presiden Amanah,  Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan sekiranya tampuk kerusi di negeri ini bertukar tangan dalam PRU 14 nanti.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Marzuk berkata, usaha menamakan calon dalam Pakatan Harapan itu adalah strategi politik untuk menunjukkan kabinet bayangan dalam parti.

“Selepas PRU 14 ini, saya yakin Menteri Besarnya adalah dari Pas, kerana kita yakin dengan Pas. Pas akan mempertahankan Kelantan, malah keyakinan ini pasti kerana tiada satu faktor yang besar yang boleh menjadikan negeri ini beralih tangan kepada parti lain.

“Apa yang berlaku termasuk pergolakan politik itu tidaklah sampai ke tahap boleh menjatuhkan kerajaan sedia ada dan kita yakin serta percaya, dengan perkembangan semasa kerajaan negeri, rakyat akan lebih memberi sokongan,” katanya.

Marzuk yang juga Exco Dewan Pemuda Pas Negeri berkata, krisis dalaman yang berlaku sebelum ini, pada pendapatnya ia sudah pulih dan sekarang rakyat hanya menunggu bila tibanya masa PRU14 dan memberi mandat baru kepada Pas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *