Mertua Jangan Tamak Nak Beraya Dengan Semua Anak-Anak Serentak

19/06/2017 – Setiap tahun, bila penghujung ramadan sahaja, timbul persoalan nak balik rumah suami dulu atau isteri dulu. Kadang-kadang benda macam ini boleh menimbulkan ketegangan dalam rumah tangga.

Sebenarnya, benda ini amat mudah diselesaikan jika suami isteri mengadakan sistem giliran. Tahun ini balik rumah isteri, kemudian tahun depan balik rumah suami dan macam itu lah seterusnya.

Tapi kalau ibu bapa suami atau mertua memberi contoh tidak baik memang akan membuatkan menantu setiap tahun ‘makan hati’. Mana tidaknya makan hati setiap kali raya sahaja, raya pertama mertua meletakkan syarat anak-anak perlu balik raya kerana mahu beraya serentak dengan anak-anak. Ini bermakna setiap tahun perlu beraya di rumah mertua.

Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sudah berkahwin, bertolak ansurlah dengan anak dan menantu. Disebabkan sikap tamak seperti ini menantu terpaksa makan hati kerana mengikut tradisi ‘merepek’ keluarga mertua. Wanita ini menasihati pada mertua untuk lebih bertolak ansur apabila waktu beraya kerana perkara ini menyebabkan anak dan menantu bergaduh.

“Di sini aku nak merayu pada segelintir mertua yang tamak. Tamak nak beraya dengan semua anak-anak serentak. Kalau dia ada 10 orang anak, dia nak semua 10 anak dia ada pada raya pertama itu. Tolonglah, menantu itu bukan sebatang kara di dunia ini. Jika menantu itu anak yatim piatu sekalipun, dia masih ada kampung halaman, masih ada adik beradik, saudara mara pun ramai yang patut dia ziarah sempena bulan mulia ini.”

“Bukan saja menuntut anak-anak semua ada di rumah tapi kalau boleh sehari sebelum raya dan raya pertama ada lagi satu hari khas untuk berkumpul bergambar lengkap satu keluarga. Seolah ianya wajib termaktub dalam Al Qur’an, tak sah pulak raya keluarga mertua kalau ada 1-2 keluarga dari anak-anak mertua tiada dalam gambar masa hari khas itu nanti.”

“Tak cukup dengan tuntutan itu, ada lagi majlis dalam bulan Syawal yang kalau boleh mertua menuntut semua anak-anak balik. Tak kira lah syawal ke-9, syawal ke-18 atau syawal yang terakhir. Senang kata, dalam bulan Syawal itu anak-anak kena balik sebanyak 3-4 kali, tak kira walau di mana pun mereka tinggal.”

“Tolonglah terima hakikat anak-anak tak kira lelaki atau perempuan dah ada keluarga sendiri. Ada hati yang mereka perlu jaga. Ada tanggungjawab mereka sendiri. Jangan disebabkan tuntutan mertua itu akan menimbulkan rasa serba salah dalam diri anak-anak, akan timbul rasa tidak ikhlas dalam diri menantu dan akan timbul rasa kecil hati keluarga besan sebab anak-anak menantu lebih banyak habiskan hari-hari dalam bulan syawal di rumah mertua.”

“Diakui semua ibubapa inginkan kegembiraan Syawal dirai bersama dengan semua anak menantu dan cucu, serentak dan lengkap. Tapi terima lah hakikat bila mana semua anak-anak telah berkeluarga, itu semua sangat mustahil. Hormatilah dan kasihani menantu yang juga punya keluarga serta kampung halaman. Anak-anak bukan tak balik langsung, mereka tetap balik.”

“Menantu memendam rasa kerana tak boleh bangkang sebab anak-anak kata ianya tradisi keluarga, kalau tak nanti ibu bapa mereka sedih anak-anak tak lengkap. Habis, menantu tiada ibu ayah? Tiada adik beradik? Tiada kampung halaman? Anak menantu bergaduh, bermasam muka kerana tuntutan itu.”

“Anak ramai bukan anak seorang. 1 Syawal ada anak sulung, nombor 4 dan 8. Syawal ke-2 ada anak nombor 2 dan yang bongsu, dan sampai ke akhir Syawal anak-anak tetap ada silih berganti. Masih tidak bersyukur lagi ke?,” tulisnya. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *