Mukhriz Bukanlah Seorang Pemimpin Yang Berani Dan Bijak Berpolitik

20/06/2017 – Saban hari kian terserlah kelemahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di bawah pimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila kritikan berterusan Exco Armada PPBM terhadap pucuk pimpinan parti itu telah mendedahkan beberapa kelemahan dan kepincangan parti itu yang terlindung selama ini.

PPBM ketika ini sedang bergelut dengan krisis dalaman apabila Exco Armada, Muhammad Hafiz Azhar membidas parti itu susulan beberapa isu yang tidak diperjelaskan dan dijawab pucuk pimpinan parti tersebut.

Minggu lepas Exco Armada itu mempersoalkan sumber kekayaan ahli keluarga Mahathir dan juga isu skandal seks antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan seorang wanita bukan Islam Nika Gee, malangnya tidak seorang pun pimpinan PPBM yang menjawab perkara tersebut.

Malah Muhammad Hafiz juga mendakwa ahli-ahli hilang keyakinan dengan pemimpin-pemimpin parti kerana kekurangan integriti dan penyalahgunaan kuasa.

“Bagaimana pun semua soalan itu akan dielak daripada dijawab oleh mereka yang berkenaan ketika mesyuarat bersama dan saya sendiri menghantar pesanan ringkas kepada Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetapi semuanya membisu seperti ingin melindungi sesuatu.

“Perkara itu perlu dijelaskan dan semua ahli ingin mengetahui kebenaran. Jika mereka tidak jujur maka selama ini perjuangan kami untuk parti adalah sia-sia.

“Dahulu mereka menjanjikan satu perjuangan yang bersih, tetapi kini mereka sendiri tidak bersih dengan skandal dan isu yang tidak dapat diselesaikan,” kata Muhammad Hafiz.

Dek kerana tidak dapat terima kritikan, Mukhriz mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan mengambil tindakan terhadap Muhammad Hafiz Azhar kerana membangkitkan isu-isu sensitif mengenai pemimpin-pemimpin parti dan kerana tidak melindungi parti.

Namun jeliknya, apabila Mukhriz dan beberapa pemimpin pembangkang yang lain melakukan perkara yang sama terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka berkata ia adalah hak mereka untuk menyerang Najib dan bahawa ia adalah tidak adil untuk mengambil tindakan terhadap pengkritik Perdana Menteri.

Inilah sifat hipokrit yang sering kali dipamerkan oleh puak Pakatan Harapan. Kalau orang lain yang buat, sudah pasti mereka akan mengecam dan mengkritik tindakan itu habis-habisan.

Tapi kalau mereka sendiri yang buat, macam-macam alasan yang diberikan untuk menjustifikasikan tindakan dan keputusan yang telah mereka lakukan, walaupun ianya benda yang sama.

Rentetan kecaman Exco Armada tersebut, Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia UUM, Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri melihat krisis ini paling ketara menonjolkan sikap Mukhriz yang dikatakan sering berdolak dalik dan hipokrit dalam menangani krisis dalaman parti serpihan UMNO itu.

Kata Achmad, pergolakan dalaman PPBM ini seperti hukum karma kepada segala tindakan Mukhriz ketika berada dalam UMNO dahulu.

“Barangkali Mukhriz telah lupa bahawa beliau juga pernah melakukan perkara yang sama ketika beliau berada dalam UMNO.

“Beliau dengan lantang kononnya mengkritik dari dalam parti terhadap Institusi Presiden parti pucuk terutamanya setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Masih lagi kita ingat ketika itu Mukhriz mengatakan kebenaran perlu didedahkan kepada rakyat dan sebarang kemungkaran perlu diambil tindakan.

“Tetapi mengapa apabila terdapat ahli lain dalam PPBM yang diterajuinya mengkritik kepimpinan parti, ahli tersebut telah diugut untuk dihadapkan kepada lembaga displin PPBM?

“Mukhriz nyata tidak berani berhadapan dengan kritikan dan menolak dengan mentah terhadap sebarang pembongkaran kemungkaran yang berlaku di dalam PPBM,” kata Achmad.

Rentetan kemelut itu juga, seorang lagi Exco Armada iaitu Mohamad Taufik Abas pula mempertikaikan tindakan Mukhriz.

“Mukhriz adalah orang yang patut bela Hafiz, tapi dia pula yang mengkhianatinya,” kecam Mohamad Taufik terhadap Mukhriz yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengecewakan, mengkhianat dan penipuan. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *