Mukhriz Dan Lim Guan Eng Tak Layak Berada Dalam Kabinet Bayangan PH

20/06/2017 – Isu calon perdana menteri pun belum selesai, kini mengumumkan kabinet bayangan pula. Isu calon perdana menteri telah membuatkan puak Pakatan Harapan menjadi tegang sehingga hari ini. Ini kerana pelbagai nama dicalonkan sehingga membuat mereka tak mampu mencapai kata sepakat.

Parti rasis dan cauvinis DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini begitu menegaskan mahu bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon yang kononnya berpotensi untuk jawatan perdana menteri.

Namun bagaimanapun, Anwar baru-baru ini telah membuat kejutan apabila mengumumkan beliau menolak tawaran untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya puak Pakatan Harapan berjaya memenangi Pilihan Raya Umum (PRU-14) akan datang.

Disebabkan itu, bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim beriya-iya berterima kasih kepada bekas Ketua Pembangkang itu kerana mengumumkan tidak akan menawarkan diri sebagai calon puak Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri.

“Anwar telah membuat pengorbanan yang cukup besar, bergerak ke hadapan untuk lebih banyak perkara utama bagi membentuk kerajaan baru,” kata Zaid dalam blog beliau.

Tidak cukup dengan itu, Zaid turut ‘mengumumkan’ senarai kabinet bayangan puak Pakatan Harapan yang hanya mengikut firasat beliau kononnya bagi membuktikan pembangkang bersedia untuk mengambil alih Putrajaya.

“Sementara menunggu pemimpin pembangkang untuk bersetuju siapa yang patut menjadi perdana menteri, mengapa tidak selami senarai saya mengenai anggota kabinet dalam kerajaan baru.

“Ia juga akan mengelakkan pertikaian baru daripada meletus di kalangan semua pihak, yang hanya akan melemahkan pakatan rapuh ini,” kata Zaid.

Bagi jawatan perdana menteri, seperti kebiasaan Zaid tetap dengan pilihannya menyokong Mahathir jadi Perdana Menteri berbanding Anwar. Ini kerana bagi Zaid, Mahathir merupakan calon ‘paling layak’ untuk menduduki kerusi itu meskipun ramai yang tidak setuju.

Jawatan timbalan perdana menteri pula, Zaid mencadangkan ia dibiarkan kosong sambil membayangkan Anwar mungkin sesuai menduduki kerusi tersebut setelah proses pembebasan dan ‘penempatan’ beliau selesai.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dinobatkan sebagai menteri minyak dan tenaga dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas). Datuk Seri Azmin Ali diangkat menjadi menteri kewangan manakala pemimpin veteran parti rasis DAP Lim Kit Siang pula menerajui kementerian pendidikan.

Kementerian Dalam Negeri pula diberikan kepada pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Meskipun sertai parti DAP, tapi Zaid dilihat lebih kepada PPBM kerana lebih mengutamakan parti yang diterajui Mahathir.

Pada masa yang sama, Zaid turut memetik beberapa nama lain seperti R. Sivarasa daripada PKR bagi menjadi peguam negara, Tony Pua dari DAP diangkat menjadi menteri perdagangan serta Rafizi Ramli mengepalai kementerian baru yang menjaga hal-ehwal MARA, Felcra, Risda, Felda and Tabung Haji.

“Saya juga cadangkan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dari AMANAH mengetuai kementerian baru yang menjaga hal-ehwal agama, Mohamad Sabu dari parti yang sama menjadi menteri pertahanan dan kementerian pengangkutan diserahkan kepada Liew Chin Tong dari DAP,” tambah Zaid.

Tak ketinggalan juga nama Saifuddin Nasution Ismail dari PKR dicadangkan untuk menjawat kerusi menteri telekomunikasi, sains dan teknologi, pemimpin kanan PPBM untuk jawatan menteri luar dan anak Anwar, Nurul Izzah Anwar mengambil alih kementerian Wilayah Persekutuan.

“Syed Saddiq Abdul Rahman wajar dilantik menjadi menteri belia dan sukan manakala jawatan menteri pembangunan wanita dan perkembangan kanak-kanak diberikan kepada pemimpin wanita DAP,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, jika diperhatikan dengan teliti senarai nama untuk kabinet bayangan puak Pakatan Harapan yang dicadangkan Zaid ini, beliau langsung tidak menyebut nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sama ada kekal di jawatan yang sama atau diangkat untuk mengepalai mana-mana kementerian.

Begitu juga dengan nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam cadangan beliau mengenai kabinet puak Pakatan Harapan itu. Nampaknyak Guan Eng dan Mukhriz tidak layak berada dalam kabinet bayangan puak Pakatan Harapan. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *