Myanmar halang PBB siasat keganasan terhadap etnik Rohingya

YANGON: Myanmar tidak akan membenarkan pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasuki negara itu untuk menyiasat pembunuhan, rogol dan penyeksaan terhadap etnik Muslim Rohingya, kata wakil rasminya.

Kerajaan yang diketuai pemenang Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, sebelum ini memaklumkan ia tidak akan bekerjasama dengan misi ditubuhkan Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang diterima pakai pada Mac lalu.

“Jika mereka menghantar sesiapa dalam misi siasatan ini, tiada sebab kami membenarkan mereka masuk,” kata Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Kyaw Zeya.

“Misi kami di seluruh dunia sudah dimaklumkan,” katanya sambil menjelaskan visa kemasukan ke Myanmar tidak akan dikeluarkan kepada individu atau kakitangan yang dilantik misi itu.

Suu Kyi berkuasa sejak tahun lalu, selepas peralihan daripada pemerintahan tentera. Beliau memimpin Myanmar menerusi jawatan khas Kaunselor Negara tetapi turut memegang jawatan Menteri Luar.

Walaupun tidak menjaga tentera, Suu Kyi dikritik kerana gagal membela nasib lebih sejuta puak Muslim Rohingya di negeri Rakhine, barat negara itu.

“Misi PBB hanya akan memburukkan permusuhan antara pelbagai kaum di Myanmar,” kata Suu Kyi dalam kunjungan ke Sweden, baru-baru ini. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *