PAN akan saman Pesuruhjaya PAS Perak kerana didakwa memfitnah

Pimpinan Parti Amanah Negara (PAN) akan mengambil tindakan saman fitnah terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria ekoran tindakannya yang menuduh penubuhan parti itu khusus untuk orang Melayu sebagai proksi DAP.

Peguam Amanah, Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Presiden Mohamad Sabu; Timbalan Presiden, Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung, Mohd Anuar Tahir berkata, pihaknya memberi masa 14 hari untuk Razman membuat permohonan maaf.

Razman dalam postingnya di Facebook semalam memuat naik gambar yang bertajuk ‘sejarah yang berulang’ menyamakan PAN dengan Rejimen Ke-10 iaitu sayap kanan Parti Komunis Malaya.

“Berjuang dengan jelas. Jangan bimbang dan playsave. Musuh tetap musuh,” tulisnya.

Hanipa yang juga pengerusi Biro Undang-undang Amanah berkata, saman fitnah itu berasas kerana Razman membuat fitnah tersebut dalam keadaan tiada sebarang provokasi dilakukan ke atasnya.

“Razman kaitkan Amanah dengan komunis secara tiba-tiba, tak ada siapa provok dia dan dalam bulan Ramadan.

“Saya telah menerima arahan daripada anak guam saya untuk mengambil tindakan saman fitnah ke atas Razman oleh kerana dalam posting ini ada melibatkan beberapa pimpinan Amanah antaranya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Anuar Tahir, saya akan saman atas nama individu yang ada dalam gambar itu.

“Dalam masa sehari dua ini saya akan hantar notis tuntutan kepada Razman, kalau tiada apa-apa respons dalam masa 14 hari kita akan teruskan dengan tindakan saman,” katanya pada sidang media bersama Salahuddin di Wisma PAN di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, DAP juga boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas Razman kerana gambar Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng turut dipaparkan dalam posting berkenaan.

“Dari segi undang-undang DAP boleh saman jika mereka mahu kerana turut dikaitkan dalam fitnah ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sepang

Razman yang juga bendahari Pas Pusat kini sedang berhadapan kes saman fitnah oleh Timbalan Pengerusi PAN Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang difailkan pada 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *