Parti Ekonomi Rakyat Malaysia tawar diri jadi komponen BN.

Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) yang merupakan sebuah parti baharu berhasrat mahu menjadi komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, hasrat tersebut telah dikemukan kepada Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Menurutnya, satu memorandum berhubung perkara itu telah dihantar kepada Perdana Menteri pada minggu lepas untuk dipertimbangkan.

“Kita nyatakan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa parti ini menyokong segala dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan BN.

“Saya yakin permintaan kami berhubung perkara ini akan mendapat perhatian yang sewajarnya.

“Kita berjanji akan membantu melaksanakan segala tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Ridzuan berkata, setakat ini parti yang dinaunginya itu mempunyai jumlah keahlian seramai 1,000 orang terdiri daripada golongan usahawan.

Katanya, jumlah keahlian itu diyakini akan bertambah pada masa akan datang lebih-lebih lagi sekiranya berjaya menjadi sebahagian daripada komponen dalam BN.

Tambah beliau, maklumat semasa yang diterimanya berhubung perkara tersebut adalah menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Dalam Negeri untuk urusan selanjutnya.

Ridzuan yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) sebelum ini menyatakan akan membuat pengumuman rasmi mengenai penubuhan parti berkenaan.

Parti baharu itu yang disebut sebagai Parti Ekonomi Rakyat Malaysia sudah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Parti tersebut menggunakan simbol kepala helang pada logo sebagai menunjukkan keberanian dan ketegasan dalam prinsip dan dasar-dasar utamanya.

Selain itu, logo tersebut turut mengandungi rekabentuk bulan separuh yang menjadi lambang kepada agama Islam sebagai agama rasmi.

Ridzuan turut memberitahu satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat berhubung perkara berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *