PAS harap kerajaan akan segera selesaikan isu FGV

PAS merayu agar kerajaan segera menyelesaikan kepincangan Felda Global Ventures Berhad (FGV) hingga ke akar umbi, selepas Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad melepaskan jawatannya sebagai pengerusi semalam.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asal, Wan Rohimi Wan Daud berkata, sesiapa sahaja yang bertanggungjawab menyeleweng, menggunakan aset dan wang Felda mahupun FGV untuk keuntungan dan kepentingan peribadi perlu dihukum.

Bahkan katanya, mereka yang menggunakan pengaruh serta jawatan di dalam Felda mahupun FGV demi memenuhi gelojak nafsu dan kocek mereka sendiri juga harus diheret ke muka pengadilan.

“Dengan keluarnya Tan Sri Isa Samad daripada bayangan Felda mahupun FGV, diharapkan Tan Sri Shahrir Samad dan Tan Sri Sulaiman Mahbob dapat bekerjasama dengan sebaiknya untuk memulihkan Felda mahupun FGV supaya kembali kepada tujuan asal penubuhan Felda, memajukan serta mengembangkan teras perniagaan Felda.

“Cukuplah rakyat terutamanya peneroka menderita akibat kerakusan segelintir pihak, Felda bukan milik sesiapa, Felda adalah milik peneroka dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Sulaiman sebagai pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta.

Ia susulan Isa Samad bersetuju melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV seterusnya dilantik sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangku­tan Awam Darat (SPAD) juga berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas perkara itu, Rohimi berkata, peletakan jawatan Isa Samad sebagai ternyata tepat pada masanya.

“Di saat FGV mahupun Felda dilambung dengan pelbagai kontroversi dan skandal, seharusnya sejak awal lagi beliau direhatkan daripada memegang jawatan sebagai Pengerusi FGV agar siasatan menyeluruh dapat dilakukan.

“Namun apa yang dikesali beliau terus dianugerahkan jawatan kerusi empuk di SPAD tanpa melihat rekod beliau yang lalu yang nampaknya lebih banyak buruk daripada baiknya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *