Pemain kebangsaan Filipina jadi penggempur baru Skuad Harimau Kumbang.

Pulau Pinang – Bekas penyerang sensasi pasukan Sarawak FA, Mark Andrew Hartmann sah menyertai Pulau Pinang hari ini. Perkara berkenaan diumumkan melalui media sosial rasmi, Facebook milik pasukan pulau mutiara itu sebentar tadi.

Mark Hartmann, 25 tahun baru merasakan aksi di Liga Malaysia pada musim pertamanya pada tahun ini.

Beliau beraksi di Liga Singapura bersama Geylang International FC sebelum menyertai skuad Bujang Senang sebelum sepak mula musim 2017.

Bersama Sarawak, Mark Hartmann digandingkan dengan penyerang import dari Croatia, Mateo Roskam.

Mark Hartmann pantas mencuri hati penyokong bola sepak Sarawak pada awal musim. Beliau tampil sebanyak 16 kali dan menjaringkan sejumlah 7 gol untuk pasukan kendalian David Usop itu.

Empat daripada jaringan gol Mark Hartmann hadir di saingan Piala FA 2017. Mark Hartmann menjaringkan hatrik ketika pasukan Sarawak membelasah MISC-MIFA dengan jaringan 6-3 di Kuching pada 14 Februari yang lalu.

Satu lagi gol dalam hadir ketika membantu Sarawak menang 2-1 ke atas Perlis dalam pusingan ke-3 saingan Piala FA di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Mark Hartmann turut menjaringkan 3 gol dalam saingan Liga Super Malaysia untuk pasukan Bujang Senang.

Gol pertamanya untuk Sarawak hadir ketika skuad Bujang Senang hampir mengejutkan pasukan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Gol jaringan Hartmann memberikan pendahuluan untuk pasukan Sarawak seawal minit ke-10 perlawanan. Sarawak mendahului dua kali dalam perlawanan itu, namun Kedah bangkit untuk memastikan kemenangan 3-2.

Dua gol lagi jaringan Mark Hartmann untuk pasukan Sarawak hadir ketika Sarawak mencatat kemenangan pertama di Pulau Pinang dan juga ketika menewaskan PKNS FC dengan jaringan 3-2 di Shah Alam pada akhir Februari lalu.

Jaringan Mark Hartmann di Shah Alam adalah jaringan terakhirnya untuk pasukan Sarawak. Beliau juga kerap dilihat memulakan perlawanan dari bangku simpanan pada penghujung pusingan pertama Liga Super.

Hartmann mengesahkan beliau meninggalkan skuad Bujang Senang pada minggu pertama jendela perpindahan dibuka pada pertengahan Mei yang lalu.

Berdasarkan sumber dalaman kami di Kuching, Mark Hartmann sememangnya mengimpikan untuk beraksi bersama pasukan Pulau Pinang.

Adakah Mark Andrew Hartmann akan menampilkan kembali prestasi asal beliau seperti awal musim selepas hajat beliau ini tercapai?

Selamat maju jaya Mark Andrew Hartmann! – SB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *