Pemimpin PKR Jadi Tikus Bila Kena Buli Dengan Guan Eng Di Pulau Pinang

19/06/2017 – Semakin menyerlah Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi boneka parti rasis dan cauvinis DAP kerana sering mengikut telunjuk parti di bawah pimpinan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang itu.

Sebelum ini, hangat diperkatakan apabila peruntukan bagi ADUN Penanti, Dr Norlela Ariffin disekat oleh kerajaan negeri Pulau Pinang hanya kerana tidak dapat menghadirkan diri pada istiadat mengangkat sumpah perlantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada 29 April lepas.

Norlela mendakwa beliau tidak menerima undangan rasmi dari pejabat setiausaha kerajaan negeri ke majlis angkat sumpah 29 April lepas dan menyangka majlis itu untuk exco dan orang penting yang ada jawatan.

Namun Ketua Menteri negeri ini, Lim Guan Eng tidak mengulas isu peruntukkan disekat sebaliknya membidas ADUN Penanti itu yang mendakwa tidak diundang ke majlis angkat sumpah gabenor hujung bulan lepas.

Setiausaha Agung parti rasis dan cauvinis DAP itu menganggap dakwaan ADUN Penanti itu tidak betul dan memburuk-burukkan nama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farisan Darus.

Walau bagaimanapun, bukan hanya ADUN Penanti dari PKR itu sahaja yang disekat oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang. Malah tiga lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR turut dikenakan tindakan yang sama. Itulah yang didakwa oleh Naib pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong.

Menurut Oh, peruntukan bagi ADUN Machang Bubok Lee Khai Loon, ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wen dan ADUN Kebun Bungah Cheah Kah Peng dibekukan kerajaan DAP setelah mereka gagal menghadiri istiadat mengangkat sumpah perlantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada 29 April lepas.

Beliau berkata, kerajaan negeri sepatutnya menggunakan kaedah lain untuk menghukum mereka yang gagal menghadiri majlis rasmi kerajaan negeri dan bukannya dengan membeku peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk rakyat kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Oh juga menyifatkan tindakan kerajaan negeri dilihat seolah-olah ingin membalas dendam terhadap wakil rakyat PKR yang tidak menyokong tindakan kerajaan negeri mengenai isu tambak tanah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saya ingin menggesa Ketua Menteri (Lim Guan Eng) supaya tidak membekukan peruntukan wakil-wakil rakyat PKR.. Peruntukan ini demi kebajikan dan kebaikan rakyat setiap kawasan berkenaan.

“Peruntukan ini adalah bagi DUN setiap kawasan, ia tidak boleh berdasarkan piawaian beliau sendiri untuk memberi peruntukan ini,” kata Oh.

Ini kerana Ong dan Cheah pernah dipecat kerajaan Pulau Pinang daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri tahun lepas, apabila mereka bertindak berkecuali semasa mengundi usul penambakan tanah yang dibawa oleh Barisan Nasional semasa persidangan DUN Pulau Pinang.

Namun, usaha mendapatkan pengesahan ketiga-tiga ADUN PKR itu gagal kerana mereka yang dihubungi semua tidak mahu mengulas mengenai isu pembekuan peruntukan itu. Nampaknya pemimpin PKR jadi ‘tikus’ bila kena buli dengan DAP di Pulau Pinang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Rashid Hasnon berkata, isu itu selesai selepas enam ADUN termasuk yang bukan dari PKR telah membalas surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kerajaan negeri sebelum ini.

“Enam wakil rakyat tidak hadir ke istiadat mengangkat sumpah pada April lepas dan mereka telah memberikan sebab tidak hadir. Maka, isu itu dianggap selesai,” katanya.

Rashid yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri berkata, kerajaan negeri kini dalam proses meluluskan peruntukan yang sepatutnya diterima kesemua ADUN berkenaan. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *