Penduduk Kuala Sungai Baru ‘Berpesta Tepung’ Sebelum Aidilfitri

ALOR GAJAH – Pesta tepung! Penduduk di Telok Gong, Kuala Sungai Baru, di sini tidak melepas rezeki di depan mata apabila ribuan peket tepung beras dan tepung pulut ditemui terapung di tepi jeti nelayan.

Bungkusan makanan terapung itu disedari penduduk jam 3 petang kelmarin dipercayai tercampak keluar dari kontena yang ditunda bot nelayan ke jeti terbabit.

Kontena dipenuhi muatan tepung itu dipercayai dibawa kapal dagang MV Avatar dari Medan ke Batam, Indonesia yang karam di perairan Tanjung Kling, Rabu lalu sehingga mengorbankan kapten kapal manakala 14 kru terselamat.

Seorang pengusaha kedai, Kamarunzaman Md Talib, 40, berkata, sejak malam kelmarin, jeti nelayan di kawasan itu kecoh apabila dipenuhi lebih 200 orang yang datang untuk melihat serta mengambil tepung berkenaan.

“Memang sejak jam 8 malam (kelmarin) lagi orang dah ramai. Masing-masing mengambil tepung untuk dibawa pulang ke rumah. Saya sendiri turut mengambil kira-kira 30 bungkus tepung,” katanya ketika ditemui di jeti berkenaan, semalam.

Seorang lagi penduduk, Ita Ahmad, 42, berkata, dia terus pergi ke jeti itu sebaik diberitahu rakan tentang tepung terapung di tepi jeti.

“Saya tidak tahu dari mana datangnya tepung-tepung ini. Saya cuma anggap ia adalah rezeki sempena menyambut Aidilfitri.

“Dapatlah bawa balik tepung sikit untuk buat kuih raya,” katanya.

Bagi adiknya, Nurfatihah Ahmad, 24, pula, dia mengambil lebih 30 bungkus tepung untuk diagihkan bersama kakaknya dan bercadang ingin menggunakan bekalan itu bagi membuat biskut raya serta dodol.

Sementara itu, Ketua Nelayan Jeti Kampung Telok Gong, Azman Abu Kassim berkata, dia terkejut dengan kejadian ‘pesta tepung’ yang berlaku di jeti berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mengetahui bagaimana kontena itu boleh terbuka.

“Saya ada dengar ada nelayan yang menunda kontena-kontena itu, tetapi saya tidak tahu siapa yang membukanya sehingga kesemua bekalan tepung memenuhi permukaan air laut di jeti.

“Bagaimanapun, saya sudah keluarkan arahan kepada nelayan dan juga penduduk kampung supaya tidak membuka empat kontena yang lain kerana sudah pasti isi kandungan itu milik syarikat persendirian,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian dijeti berkenaan petang semalam mendapati dianggarkan lebih 100 orang masih lagi berada di situ untuk mengutip sisa-sisa bungkusan tepung pulut dan beras cap Rose buatan Indonesia. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *