Rakyat akan nilai politik dendam Mahathir.

Melihat perjuangan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah satu perkara baharu.

Beliau terang-terangan mengkritik Najib dan dengan lantangnya mendakwa Najib pemimpin Umno BN paling teruk dan merosakkan parti itu.

Bagaimanapun, motif perjuangan Mahathir yang juga merupakan bekas Perdana Menteri turut dipersoalkan sesetengah pihak terutamanya mereka yang masih berpegang teguh dengan Umno, malah melihat tindak tanduk Mahathir bersifat politik dendam.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, hanya Mahathir yang tahu motif sebenar mengapa Umno BN mahu ditumbangkannya.

“Sebagai pemimpin politik veteran, sudah tentu banyak isu, fakta termasuk juga taktik dan strategik serta muslihat yang sedia difahami oleh beliau.

“Namun begitu, rakyat harus mula melihat kepada soal survival negara, saya bimbang jika hanya mahu menumbangkan satu individu sahaja, akhirnya sebuah kerajaan dipergadaikan,” katanya kepada Sinar Online.

Menurut Shukri, wabak ingin menjatuhkan pemimpin ini sentiasa wujud dalam senario politik tanah air.

“Dahulu, semasa Tun M menjadi PM, pun ramai tokoh termasuklah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah dan ramai lagi mahu jatuhkan beliau.

“Akan tetapi, institusi kerajaan masih tetap kukuh, begitu juga masa kini di mana wabak tersebut masih ada dan akan berterusan selagi wujud orang dan aktiviti berpolitik secara berparti ini di Malaysia,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, setiap pemimpin mempunyai gaya pemikiran mereka yang tersendiri namun rakyat mempunyai kuasa untuk memilih.

“Biarlah Tun M dengan gaya beliau dan Najib mentadbir dengan caranya sendiri, kita demokrasi dan terbuka, tentunya rakyat matang dalam membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian turut mempunyai pandangan yang sama bahawa terdapat perbezaan dengan gaya pimpinan kedua-dua pemimpin tersebut.

“Barangkali terdapat perbezaan mengenai dasar dan pentadbiran antara kedua-duanya.

“Mungkin juga Tun M mahukan pandangan-pandangan ke atas dasar-dasar PM diterima tetapi Najib pula barangkali melihat kesesuaian mengikut gaya pentadbiran beliau,” katanya pula

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *