Rakyat Berhak Bertanyakan Soalan Kepada Kerajaan Negeri – Zainal Abidin Osman

BALIK PULAU – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tiada hak meletakkan syarat jika ada rakyat meminta penjelasan tentang sebarang isu di negeri ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Ini kerana katanya Lim menjadi ketua menteri berdasarkan mandat yang diberi oleh rakyat.

“Bila mandat diberi oleh rakyat, mereka berhak bertanya soalan, lebih-lebih lagi ia bukan direka atau daripada sumber fitnah. Penjualan tanah di jalan Peel (misalnya), ia benar-benar berlaku.

“Jika ada pihak seperti parti Gerakan kemuka soalan, Ketua Menteri tiada hak minta kemuka deposit, suruh berhenti berpolitik atau letak pelbagai syarat sebelum jawab soalan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di Pusat Khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong, di sini pada Ahad.

Beliau mengulas tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang baru-baru ini yang menetapkan tiga syarat kepada Gerakan negeri sebagai ‘pertukaran’ bagi mengemukakan minit mesyuarat Perbadanan Ketua Menteri (CMI) berhubung isu penjualan tanah Jalan Peel, dekat sini.

Syarat berkenaan ialah Gerakan Pulau Pinang perlu menyumbang RM1 juta bagi tujuan kebajikan, menarik balik kenyataan bahawa keputusan penjualan tanah di Jalan Peel dibuat secara ‘solo’ serta meminta parti itu menarik diri daripada arena politik. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *