Sejarah Empat Orang Wanita Termulia di Dunia

Peranan wanita dalam sejarah peradaban dunia tidak boleh dipertikaikan.  Rasulullah s.a.w juga mengakui komitmen wanita dalam memperjuangkan kebenaran.  Kaum wanita dikatakan sebagai kaum yang pantang menyerah ketika menghadapi sebarang cabaran.

Rasulullah s.a.w. telah menyebut empat orang wanita sebagai perempuan termulia di dunia.  Sabda Nabi Muhammad s.a.w.”Perempuan termulia di dunia ada empat:  Maryam binti ‘Imran, isteri Fir’aun; Aasiyah, Khadijah binti Khuwailid, dan Fatimah binti Muhammad.”

Maryam binti ‘Imran

Ayah Maryam, ‘Imran merupakan seorang lelaki soleh dari Bani Israil manakala ibunya pula adalah seorang wanita solehah yang telah menyerahkan anaknya yang masih dalam kandungan untuk berkhidmat kepada Allah s.w.t

(Ingatlah), ketika ibu Maryam berkata: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku menazarkan kepada Engkau anak yang di dalam kandunganku untuk menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat (BaitulMaqdis).  Kerana itu terimalah (nazar) itu daripadaku.  Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS. Ali Imran: 35).

Ayah Maryam telah wafat sewaktu Maryam masih dalam kandungan ibunya. Meskipun lahir dalam keadaan yatim, keberkatan dan kesolehan ibu bapanya menyebabkan ramai ahli ibadah BaitulMaqdis ingin mengasuh Maryam.  Namun, Maryam telah diasuh oleh Rasulullah Zakariya kerana mempunyai hubungan kekeluargaan.

Maryam sangat menjaga kesucian dirinya.  Dia tidak mendekati lelaki yang bukan mahramnya sembarangan.  Pernah suatu masa Jibril datang berjumpa Maryam menjadi lelaki yang sempurna tetapi Maryam masih menjaga dirinya.  Maryam telah meminta perlindungan dari Allah s.w.t. dan meminta lelaki tersebut menjauhinya.

Ia (Jibril) berkata: “Sesungguhnya aku ini hanyalah utusan Allah s.w.t. untuk memberimu seorang anak lelaki yang suci.” (QS. Maryam: 19)

Maryam dikurniakan anak yang bernama Isa bin Maryam iaitu Nabi Isa yang membawa ajaran kitab Injil.

Asiyah isteri Fir’aun

Kesabaran dan ketabahan Asiyah mengharungi ujian dan siksaan suaminya telah membuatkan kisah hidupnya diabadikan dalam Al Quran.  Keimanan yang ditunjukkan oleh Asiyah telah membuatkan Fir’aun murka.

Asiyah telah diseksa sehingga dia mengakui Fir’aun itu adalah Tuhan. Namun, kepercayaan Asiyah kepada Allah s.w.t semakin bertambah sewaktu menerima hidayah Allah s.w.t. melalui pertarungan Musa dan ahli sihir Fir’aun.

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Firaun mengikat isterinya, Asiyah dengan besi bersama kaki dan tangan yang diikat, dijemur bawah cahaya matahari dan dipukul bertubi-tubi.

Asiyah telah berdoa kepada Allah supaya ciptakan sebuah rumah untuknya disisi Allah dalam syurga. Asiyah juga berdoa agar Allah menyelamatkan dirinya dari kaum yang zalim.

Selepas melihat rumahnya disyurga dicipta, Asiyah tidak peduli akan siksaan yang dilakukan oleh Fir’aun dan orang suruhannya.  Firaun menawarkan Asiyah untuk kembali menjadi Permaisuri dan beriman kepadanya, namun Asiyah menolak lalu telah dibunuh.

 

Khadijah binti Khuwailid

Khadijah merupakan isteri pertama Rasulullah s.a.w. Nabi Muhammad berkahwin dengan Khadijah ketika Khadijah berumur 40 tahun bermaharkan 20 ekor unta muda.  Khadijah telah melahirkan Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqqayah, Ummu Kultsum dan Fatimah.

Khadijah juga dicatat sebagai wanita pertama yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w dan Allah s.w.t. Selain itu Khadijah merupakan satu-satunya perempuan yang membuat ummul mukminin Aisyah cemburu walaupun tidak pernah bertemu.

Kesolehan dan bakti Khadijah kepada suaminya semasa hidup membuatkan Rasulullah sangat mencintainya, malah walaupun Khadijah telah meninggal dunia. Rasulullah sering menyebut nama Khadijah jika ada kesempatan dan tidak bosan untuk memuji Khadijah.

Khadijah meninggal dunia pada usia 65 tahun dan dimakamkan di Ma’la, tanah perkuburan yang tidak jauh dari Masjidilharam.

Fatimah binti Muhammad

Fatimah merupakan anak kepada Nabi Muhammad s.a.w bersama Khadijah.  Fatimah digelar Az- Zahra, dan dia juga digelar sebagai pemimpin wanita-wanita di syurga nanti.

Dalam kitab fataawa adz-Dzahiriyyah di kalangan Hanafiyyah menyebut, “Sesungguhnya Fatimah tidak pernah mengalami haid, sewaktu beranak juga beliau suci dari nifasnya selepas seketika supaya tidak meninggalkan solat, kerana itu beliau digelar Az-Zahra.”

Fatimah kehilangan ibunya, Khadijah sewaktu masih kecil dan perlu menggantikan peranan ibunya.  Fatimah akan berada bersama Rasulullah di masa-masa yang sukar, oleh itu Rasulullah sangat menyayangi Fatimah.

Fatimah berkahwin dengan Ali bin Abi Thalib dan hasil dari perkahwinan itu telah menjadi penyambung kepada keturunan Nabi Muhammad s.a.w yang tidak terputus sehingga ke hari ini.

Kisah hidup Fatimah sebagai ibu dan isteri menjadi teladan kepada wanita dalam mengharungi alam rumah tangga.  Kesederhanaan, kesabaran, ketaatannya kepada suami serta cintanya kepada Nabi Muhammad s.a.w serta ajaran-ajarannya menjadikan Fatimah sebagai wanita termulia di dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *