‘Sekarang Isteri Setiap Hari Merayu Minta Saya Kahwin Seorang Lagi’

19/06/2017 – Memiliki cahaya mata pastinya idaman buat semua pasangan yang mendirikan rumah tangga. Malah ada pasangan yang sudah bertahun kahwin tetapi tidak mendapat cahaya mata tetap berusaha untuk memiliki cahaya mata sendiri. Tetapi apabila sebut sahaja tentang zuriat ini semua itu adalah rahsia Allah, tiada siapa yang tahu.

Tetapi, bagi wanita atau isteri apabila tidak mempunyai cahaya mata setelah beberapa tahun berkahwin perkara ini akan menjadi satu tekanan yang hebat buat mereka, tambahan pula bila sering diasak dengan soalan mengapa masih tiada anak walaupun sudah lama berkahwin.

Itulah kisah-kisah suami ini yang runsing dengan permintaan isterinya mahu dia berkahwin seorang lagi, gara-gara masih tidak mempunyai cahaya mata setelah empat tahun berkahwin.

Dia dan isteri telah berusaha bermacam-macam cara untuk mendapatkan cahaya mata. Jumpa doktor, bidan, ustaz dan ustazah masih lagi tidak mempunyai rezeki anak. Disebabkan hal itu, setiap hari isterinya meminta lelaki ini untuk berkahwin lain kerana dia tak mampu bagi anak.

“Sebelum ini isteri saya boleh dikatakan setiap malam menangis sama ada sebelum tidur atau selepas solat. Tapi waktu saya tak ada atau saya tertidur saja dia menangis seorang diri. Saya perasan benda itu tapi saya biarkan saja mungkin dia nak luahkan rasa hati dia.”

“Tambahan pula sekarang nak masuk raya, tiap tahun mesti isteri saya kena perli atau ditanya soalan pelik kenapa tak ada anak? Ada sampai kata isteri saya mandul, dan ada juga kata kami saja tak mahu anak. Tapi dia sabar saja walaupun kat luar dia nampak relex tapi sebenarnya bila masuk bilik dia akan menangis. Sekarang boleh dikatakan mood dia sangat down, sampaikan kalau di fb ada gambar baby atau video baby lalu dia terus dia menangis.”

“Sekarang setiap hari dia merayu minta saya kahwin seorang lagi. Dia kata dia tak nak disebabkan dia saya tak ada anak atau keturunan. 2 bulan lepas dia lari dari rumah tidur rumah kawan baik dia sebab kami bergaduh. Dia paksa saya kahwin seorang lagi, saya marah dan keluar rumah. Balik-balik tengok dia hilang dan dia cakap tidur rumah kawan dia.”

“Saya sayang isteri saya sepenuh hati, kalau ditakdirkan tak ada anak pun insyaAllah saya tak akan kahwin lain. Sebab saya tak mampu berlaku adil kerana hati saya sayang pada isteri saja, itu pun dia masih tak faham. Untuk pengetahuan semua saya seorang peniaga. Pendapatan sebulan lebih kurang 30k. Bukan saya tak mampu nak kahwin lagi tapi saya memang tak rasa pun saya perlu kahwen. Sebab saya rasa rezeki zuriat itu Allah yang tentukan.”

“Sekarang isteri saya tak nak cakap dengan saya sebab saya tak nak kahwin lagi. Saya pun pening apa perlu saya buat, saya takut dia lari dari rumah lagi. Susah sangat ke nak terima yang saya tak nak kahwin lagi. Apa perlu saya buat? ,” tulisnya. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *