Tak Sabar Tunggu Blok 404

Penggambarannya belum pun selesai tapi filem Blok 404 sudah semakin diperkatakan ramai peminat filem tempatan. Rata-ratanya sudah tidak sabar mahu menyaksikan filem tersebut yang dijangka bakal ditayangkan pada Disember 2017.

Tambah hangat apabila peminat mula bercerita kembali mengenai telefilem yang menggunakan judul sama kira-kira 16 tahun lalu. Ketika itu ia diedarkan dalam bentuk video cakera padat (VCD) sekitar 2001.

Menurut penerbitnya Dato Boy Iman, Blok 404 bagaimanapun bukan sekuel kepada telefilem yang pernah mencetuskan fenomena sebelum ini. Tetapi ia sebuah karya dengan jalan cerita yang berbeza namun masih mengekalkan barisan pelakon asal yang pernah terlibat dalam telefilem seperti Zamarul Hisham, Raja Asri, Nabila Huda termasuklah dirinya sendiri.

“Sekitar 16 tahun lalu, Blok 404 pernah jadi fenomena meskipun ianya dihasilkan dalam bentuk DVD. Malah populariti yang kami raih bermula daripada telefilem tersebut.

“Malah sampai sekarang kalau sebut Blok 404, kebanyakan orang akan ingat mengenai ceritanya. Tetapi Blok 404 yang ini bukan sekuel. Jalan ceritanya baru, pengarah baru namun empat pelakon asal masih dikekalkan. Skripnya pula ditulis oleh Allahyarham Martias Ali.

“Selepas memutuskan untuk menghasilkan filem ini, saya memuat naik sekeping gambar telefilem di laman sosial, kononnya sekadar ingin tahu apakah reaksi peminat. Tak sangka, rupanya ramai memberi respon positif malah mereka tertunggu-tunggu dan tidak sabar mahu menyaksikan filem ini. Ramai yang DM (direct message) saya, menyatakan mereka tidak sabar untuk menonton filem ini.

“Bukan hanya peminat, teman-teman artis pun ramai bertanyakan kepada saya tentang filem ini malah ramai juga yang menyatakan minat mahu berlakon alam filem ini,” katanya kepada Malaysia Digest.com, ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu jelas Boy Iman, tidak mungkin sekuel telefilem tersebut dapat dihasilkan kerana berdasarkan cerita asal hampir semua watak telah mati. Selain itu, ia sebagai memberikan kelainan kepada penonton yang pernah menonton telefilem juga kepada penonton generasi baharu.

Pun begitu, dia yakin impak fenomena Blok 404 yang diyakini masih kuat sehingga kini secara tidak langsung menjadi tarikan penonton untuk menonton filem ini apabila ditayangkan dipawagam kelak.

“Tak logik pula kalau nak buat sekual kerana ikutkan cerita telefilem, hampir semua watak mati. Dua daripada pelakon asal telah meninggal dunia iaitu Faizal Yusof dan Ahmad B.

“Lagipun ramai yang pernah menonton telefilemnya jadi kami mahu berikan satu garapan yang baru untuk generasi yang pernah tonton Block 404 yang dulu serta generasi sekarang. Bagi generasi baru, mungkin selepas tonton Block 404 nanti mereka akan cari di YouTube telefilemnya,” tuturnya yang turut meletakkan sasaran kutipan sekurang-kurangnya 5 juta apabila ia ditayangkan nanti.

Sedia Kena Potong

Menjalani penggambaran sejak 8 Jun lalu di lokasi sekitar Ampang dan Hulu Langat, filem arahan Isma Aizal Yusof itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fasha Sandha, Amar Asyraf, Kamal Adli dan Nadia Brian.

Walaupun filem ini berbajet rendah sebanyak RM700 ribu namun pembikinan filem ini menggunakan peralatan berteknologi tinggi seperti red-cam bagi menghasilkan sinematografi yang berkualiti selain menggunakan teknik CGI.

Blok 404 tampil dengan genre psiko-thriller yang berkisar tiga sekawan yang pulang dari sebuah pesta. Mereka melalui detik mencemaskan serta misteri pembunuhan ketika menginap di sebuah rumah penginapan.

“Kalau telefilem, ia berlatarbelakang di sebuah asrama tapi filem ini berlatarkan di sebuha guesthouse. Selain itu banyak babak ganas dan aksi kejam seperti pembunuhan.

“Walaupun terdapat babak sebegitu namun ianya masih relevan dan sesuai untuk tontonan umum. Malah kami merujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Penapisan filem dan kalau pun nanti ada pemotongan babak, kami sudah bersedia,” kata Boy Iman penuh yakin. – md