Tak Selamatkan Rakan Artis, Shamsul Ghau Ghau Takot Akan Dipersalahkkan

Dunia Shamsul Ghau Ghau boleh dikatakan berubah 180 darjah selepas dia pulang dari mengerjakan haji kira-kira lima tahun dulu.

Kini jadual harian pelakon dan pelawak itu menjadi lebih teliti kerana selain mencari makan, dia juga memberi perhatian kepada aspek dosa dan pahala.

Namun, kadangkala pekerjaan dilakukan sekarang menyebabkan Shamsul tidak terlepas daripada menjadi bahan umpatan sesetengah orang.

Justeru, dia meminta orang ramai memberi sedikit ruang dan memahami fitrahnya sebagai manusia yang perlu meneruskan hidup dan mencari sesuap rezeki untuk keluarga.

“Ada orang tidak dapat membezakan aktitivi dakwah cari makan dengan dakwah cari pahala. Saya ada anak, keluarga nak ditanggung, hutang perlu dibayar.

“Jika ada tawaran yang sesuai, saya terima. Jika tiada tawaran, saya akan menggunakan ruang dan masa itu untuk mencari pahala banyak-banyak sebagai bekal dibawa mati. Mati ni boleh datang pada bila-bila masa,” katanya.

Dari sisi positif, pandangan seni Shamsul yang pernah menganggotai kumpulan pelawak Senario itu boleh dikatakan sudah berbeza.

Gatal kalau terlampau kering

Malah, anak kelahiran Perak itu pernah berhasrat untuk meninggalkan bidang seni buat selamanya, namun impian itu bertukar selepas dia lebih memahami apa yang sebenarnya perlu dilakukan.

Katanya, adalah lebih sesuai jika dia menganggap lapangan seni sebagai cabaran dalam berdakwah terutama kepada sesama penggiat seni.

“Selepas mendalami ilmu agama, saya dapati tiada sempadan untuk kita berdakwah.

“Kalau semua orang asyik berdakwah di masjid, siapa nak mainkan peranan berdakwah di tempat hiburan sedangkan artis juga perlu didakwah.

“Esok-esok mereka akan persoalkan kita balik: kenapa kau tak cari aku dan tarik aku keluar dari neraka?” katanya.

Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin ditemui pada sidang media pengumuman program Kembara XPDC Ke Bumi Eropah baru-baru ini.

Shamsul terpilih menjadi antara hos yang akan mengemudikan program berbentuk dakwah itu yang dijangka bermula pada Oktober depan.

Berkongsi mengenai program kembara itu, Shamsul menganggap dirinya bertuah apabila berpeluang menyertai ekspedisi itu pada kali ini memandangkan dia sering terikat dengan jadual ketat.

Selain berharap perjalanan itu mendapat keredaan Allah, Shamsul berharap dia tidak perlu berdepan dengan masalah cuaca.

“Saya tidak tahan sejuk. Apabila cuaca terlampau sejuk kulit akan menjadi gatal kerana terlampau kering.

“Ada sesetengah negara yang tidak membenarkan kita membawa pelembab krim berlebihan. Mereka cuma membenarkan kita membawanya dalam kuantiti sedikit, justeru saya kena berjaga-jaga,” katanya. – mk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *