Terpaksa Bermalam Di Hospital Gara-gara Disengat Tebuan Ketika Mesin Rumput

JERTIH – Seorang lelaki terpaksa bermalam selama dua malam di Hospital Besut selepas cedera disengat tebuan tanah ketika mesin rumput di halaman rumah keluarganya di Kampung Tembila dekat Kampung Raja, Jumaat lalu .

Mangsa Muhammad Zuhri Mat Julan, 26, sedang memesin rumput seorang diri berhampiran rumahnya sebelum dia disengat tebuan kira-kira jam 7 malam.

Menurutnya, ketika itu dia sedang memotong lalang menyebabkan tidak dapat melihat sarang tebuan yang berada di atas tanah kerana terlindung oleh lalang.

“Sebaik mata mesin rumput saya mengenai sarang tebuan tersebut, ia terus menyerang saya lalu saya melarikan diri.

“Apabila sampai di atas jalan raya, saya membuka baju dan memusing baju tersebut untuk menghalau puluhan tebuan yang menyerang saya,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Besut di sini.

Muhammad Zuhri berkata lagi, tindakannya hanya berjaya menghalau sebahagian tebuan tersebut tetapi lebih 10 ekor telah menyengat sebahagian anggota badannya. – sh