Tiada Kenaikan Harga Untuk Barang Basah Menjelang Aidilfitri

IPOH – Tiada kenaikan harga barang basah dan keperluan harian menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu ini.

Tinjauan Sinar Harian ke Pasar Besar Ipoh mendapati semua harga barangan termasuk ikan, daging, dan sayuran mengikut skim kawalan harga musim perayaan.

Malah santan kelapa yang dikatakan kemungkinan naik harga minggu ini turut dijual pada harga biasa iaitu RM7 hingga RM8 sekilogram.

Bagi penjual daging, Fikri Hariri Abdul Malik, 23, berkata, daging merupakan antara bahan mentah yang menjadi pilihan orang ramai untuk juadah menjelang hari raya.

Menurutnya, tiada kenaikan bagi harga daging tempatan mahupun import kerana semuanya mengikut kadar semasa yang ditetapkan kementerian.

“Kami menjual daging tempatan RM 32 sekilo manakala RM24 sekilo bagi daging import. Permintaan memang tinggi pada petang raya, ramai yang mengambil kesempatan itu untuk membeli daging.

“Buat masa ini, kami memang tiada masalah bekalan kerana pembekal sendiri yang akan memastikan semuanya cukup untuk menampung permintaan tinggi ketika Syawal,” katanya.

Sementara itu, peniaga ikan, Rosni Abdullah, 59, berkata, setiap kali Syawal kebanyakan pelanggan akan membeli ikan sardin untuk dibuat kuah laksa.

Rosni berkata, selalunya sebagai persediaan raya, pelanggan lebih gemar membeli sotong dan udang berbanding ikan.

“Walau bagaimanapun, saya tetap membuat tempahan ikan lebih banyak dari hari biasa,” katanya.

Peniaga santan kelapa, Nina Azizan, 40, berkata, permintaan kelapa dan santan sewaktu raya adalah dua kali ganda daripada hari biasa memandangkan kebanyakan juadah hari raya menggunakan santan.

Menurutnya, hari-hari terakhir puasa memang tidak menang tangan sejak awal pagi hingga ke tengah hari malah mereka juga berniaga pada waktu malam untuk memudahkan pelanggan membeli santan untuk dibuat lemang.

“Setakat ini, kami tiada masalah dengan bekalan kelapa dan mencukupi hingga raya nanti.

“Untuk santan, kami jual dengan harga RM8 sekilo manakala kelapa parut RM7.20 sekilo.

“Harga ini berdasarkan skim kawalan harga musim perayaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *