TN50 Perlu Dijadikan Platform Untuk Kekalkan Generasi Muda Di Luar Bandar

ALOR GAJAH – Transformasi Nasional 2050 (TN50) disarankan menjadi platform memperkasakan kedudukan generasi muda luar bandar bagi memastikan migrasi golongan itu ke bandar tidak terus berlaku.

Pengerusi Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, isu ini perlu diberikan perhatian yang serius memandangkan 60 peratus generasi muda telah berhijrah ke bandar dan jika keadaan ini berterusan akan memberi impak negatif kepada geopolitik dan sosioekonomi negara.

Menurutnya, menerusi TN50 perlu memberi fokus utama dengan membekalkan dan menyediakan pelbagai kepakaran, pengetahuan, kemahiran dan juga teknologi canggih serta modal mencukupi bagi membolehkan generasi itu dapat memajukan dan membangunkan bidang agro teknologi di luar bandar tanpa perlu campur tangan kuasa besar dari luar yang akan menguasai ekonomi dan politik di luar bandar.

Katanya, beliau bimbang melihat situasi hari ini di mana kuasa-kuasa besar yang memiliki ekonomi dan kewangan kukuh telah menyusur masuk ke kawasan luar bandar sehingga menyebabkan banyak tanah-tanah yang sepatutnya dikekalkan telah bertukar tangan, digadai atau dipajakkan disebabkan penghijrahan generasi muda ke bandar.

“Generasi muda di luar bandar perlu dikekalkan dan mereka boleh meneruskan pertanian tradisi, seperti menoreh bertani dan sebagainya dengan teknologi dan mendiami kawasan luar bandar yang menjadi semakin kosong.

“Jika tidak ia akan memberi peluang bukan Bumiputera menggunakan teknologi dan kekuatan serta kewangan mereka untuk masuk ke luar bandar dan dalam tempoh jangka masa panjang ia akan mengubah jiwa politik negara yang telah kita nikmati keharmoniannya sejak merdeka,” katanya.

Rahim berkata demikian ketika berucap pada program Sumbangan Bantuan Hari Raya dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Yayasan Penggerak Wawasan (YPW) di Seri Pantai, Pengakalan Balak Masjid Tanah petang, semalam.

Tambahnya misi nasional yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan landasan hala tuju negara termasuk memperkasakan kedudukan Bumiputera.

Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi YPW turut menyampaikan sumbangan kepada 96 penerima yang terdiri daripada golongan yang kurang bernasib baik sekitar kampung itu. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *