Uniknya Sambutan Bulan Ramadan di Iran

IRAN – 90% – 95% penduduk di Iran beragama Islam dan mengikuti ajaran syiah.  Ini bermakna sambutan bulan Ramadan disana agak meriah. Bulan yang suci ini digunakan oleh penduduk untuk menguatkan ikatan kekeluargaan mereka dan beribadat kepada Allah s.w.t.

Menurut Times of Oman, sepanjang bulan Ramadan, kaum Muslim di Iran selalunya menghabiskan masa mereka dengan berdoa, beramal dan solat jemaah bersama. Masjid-masjid di seluruh negeri juga meriah menyediakan juadah berbuka puasa atau iftar.

Ramai juga memanfaatkan bulan Ramadan dengan menderma kepada mereka yang memerlukan. Sumbangan seperti makanan, pakaian, dan barang kegunanan lain akan dibahagikan kepada golongan miskin, gelandangan dan mereka yang terpinggir selama ini.

Sepanjang bulan Ramadan ini, selain dari larangan makan dan minum di tempat awam, kerajaan juga melarang merokok di hadapan orang awam.  Kebanyakan kedai kopi dan restoran juga tutup pada waktu siang kecuali yang berada di stesen minyak, lapangan terbang dan stesen kereta api.

Untuk mengurangkan beban mereka yang berpuasa, jam bekerja juga dikurangkan.  Dengan itu, penduduk boleh menghabiskan masa bersama keluarga, menyediakan juadah berbuka, beristirehat atau melakukan aktiviti lain.

Makanan yang sering dimakan waktu sahur di Iran dikenali sebagai Sahari.  Namun ada juga yang mengambil juadah sahur yang berbeza bergantung kepada keluarga tersebut.

Menurut Elham Pourmohammadi , seorang wartawan di Tehran, penduduk Iran selalunya berbuka puasa dengan kurma dan secawan air teh panas.  Uniknya, sesetengah keluarga, akan membezakan waktu berbuka dan makan malam mereka.

Mudah untuk mencari juadah berbuka puasa di Iran kerana sepanjang jalan ada sahaja kedai atau juadah yang menarik dijual.

Hidangan makanan khas Iran sepanjang Ramdan ialah teh, roti, keju, sayur segar, zooolbia dan bamiyeh (manisan tradisional Parsi), halva (kuih yang dimasak dulu baru dipanggang), shole zard (makanan untuk menutup rasa manis), Ash Reshteh (mi sup Parsi), Haleem (soto), dan pelbagai jenis sup. – UN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *