Wanita Berusia 103 Tahun Masih Kuat Berpuasa

MANONG – Siapa sangka seorang wanita berusia 103 tahun ada menetap di Kampung Ulu Kenas, di sini, dan mungkin tersenarai antara yang tertua di Malaysia.

Wartawan Sinar Harian sempat ke rumah Omnariah Kulop Abdullah, 103, baru-baru ini dan ternyata wanita itu masih petah bercakap, namun mengalami sedikit masalah pendengaran.

Justeru, wartawan perlu meninggikan suara untuk bercakap dengannya.

Kadangkala terasa seperti kurang sopan namun menurut anaknya, Nordin Mat Ali, 67, memang begitulah cara mereka berbual dengan ibunya.

Lebih mengagumkan, dengan usia melebih 100 tahun, ibu kepada lima anak ini tidak pernah ponteng puasa sejak beberapa puluh tahun lepas.

Malah, pada hari wartawan bertemunya juga, wanita itu sedang berpuasa dan mengadu sedikit letih disebabkan cuaca panas dan tidak bersahur.

“Hari ini tak sahur, cuaca pun panas jadi rasa letih sikit. Dari awal puasa, memang makcik tak pernah tinggal puasa lagi. Sayanglah kalau tinggal.

“Tak ada masalah kalau nak puasa, cuma letih itu biasalah, lagipun makcik dah tua. Biasanya memang puasa penuh tapi kalau sakit, mungkin ada ponteng, tapi kadang-kadang,” katanya.

Masih aktif buat kerja

Menurut Nordin, ibunya memang gembira setiap kali tiba Ramadan dan jika kesihatannya mengizinkan, memang ibunya akan berpuasa penuh pada setiap tahun.

“Mula-mula dulu risau juga tapi bila lihat dia kuat dan bersemangat, kami anak-anak biarkan saja. Kalau dia betul-betul tak larat, baru kami suruh berbuka.

“Dia memang aktif, itu sebab badan dia sihat. Biasa pagi lepas solat Subuh, dia akan bersihkan dalam dan luar rumah. Selagi tak bersih, selagi itu dia akan buat kerja.

“Bila semua selesai baru dia berehat. Itu pun kadang-kadang tak lama, ada saja benda dia nak buat. Anak-anak tak boleh cakap apa, ikut saja apa dia nak sebab itu yang buat dia sihat dan seronok,” katanya.

Makan mesti berulam

Nordin menambah, rahsia umur panjang ibunya mungkin kerana mengamalkan ulam-ulaman serta minum kopi setiap hari sejak usia remaja.

“Kalau bab ulam, macam-macam ulam mak saya makan. Kami yang anak-anak pun dah terikut, mesti nak cari ulam baru makanan rasa lengkap.

“Itu sebab mak sihat selalu. Memang senanglah jaga mak, tak pernah lagi masuk hospital lama-lama atau sakit teruk, terlantar. Sakit-sakit biasa adalah tapi tak teruk.

“Alhamdulillah sebab ibu kami dikurniakan umur panjang malah kesihatan yang baik. Sekarang dia ada lebih 40 cucu dan enam orang piut. Kalau raya memang meriah,” katanya.

Berbuka di rumah pusaka

Seorang lagi anaknya, Abdul Khatab Mat Ali, 76, kagum dengan kecekalan ibunya tetap berpuasa meskipun kadangkala tidak bersahur pada hari berkenaan.

“Kita cakaplah macam mana pun, kalau dia kata nak puasa dia akan puasa. Katanya dia masih mampu, kenapa pula dia tak boleh puasa? Bila dia kata macam itu, kami diam sajalah.

“Kami cuma pastikan setiap hari ada juadah berbuka untuknya. Biasanya dia berbuka di rumah pusaka keluarga kami. Kadang-kadang saja berbuka puasa dengan anak dan cucu,” katanya.

Selama hampir satu jam wartawan menemu bual keluarga tersebut, Omnariah banyak ketawa.

Mungkin keceriaan hatinya juga membuatkan umurnya panjang, bebas dari masalah.

Lahir pada 23 September 1914, Omnariah antara beberapa orang sahaja manusia berumur lebih 100 tahun yang masih, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia juga. – sh