13 Persatuan Penduduk Paya Terubong anggap kerajaan DAP sebagai pemusnah alam sekitar.

18/7/2017– Kebanggaan palsu yang sering dipertontonkan mereka, mula memakan diri. Slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) yang bangga dilaung-laungkan oleh Kerajaan DAP boleh disifatkan mati. Ini kerana segala tindakan mereka selama ini tidak seperti yang dilaung-laungkan.

Mereka sepatutnya tidak perlu terus dengan lakonan mereka yang pura-pura prihatin dengan nasib rakyat. Kononnya merekalah yang memperjuangkan hak rakyat. Walhal mereka yang rakus menindas hak rakyat dan membawa kerosakan kepada negeri di bawah pentadbiran mereka.

Jumaat lalu, cerun bukit berhampiran Lebuh Lebuh Rambai 13 di Paya Terubong, runtuh ekoran hujan lebat sejak awal pagi, bagaimanapun amat bernasib baik kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Terdahulu, seorang penduduk di Paya Terubong, Tan Kwee Lim mendakwa kejadian tanah runtuh bukan pertama kali berlaku sebaliknya kerap berulang sejak kerajaan negeri meluluskan projek pembangunan 47 unit pangsapuri berdekatan kawasan bukit di situ hampir lima tahun lalu.

“Bantahan dibuat tetapi tiada siapa peduli dan mahu menyokong kami kerana projek tersebut telah diluluskan kerajaan negeri walaupun keselamatan ratusan penduduk terancam.

“Pokok ditebang sehingga botak tetapi dibiarkan dan selepas kami membuat aduan, mereka hanya menutup kawasan bekas tarahan itu dengan kanvas,” dakwanya.

Itu sebab, penduduk Paya Terubong hari ini menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyemak atau mendefinisikan semula apa itu ‘projek khas’ dalam garis panduan 2009 dalam usaha untuk melarang sebarang pembangunan pada masa hadapan di atas tanah bukit kecuali untuk kemudahan awam yang penting, sementara menunggu semakan semula Pelan Struktur baharu.

Pelan Struktur Pulau Pinang 2020 yang diwartakan pada 2007 dan menyatakan bahawa pengecualian larangan pembangunan tanah bukit hanyalah untuk ‘projek khas’, tetapi ia tidak menjelaskan apakah ‘projek khas’ itu. Definisi dan garis panduan bagi ‘projek khas’ itu diluluskan oleh kerajaan sekarang pada 2009.

13 persatuan penduduk meminta Kerajaan DAP Pulau Pinang memastikan larangan sebarang pembangunan pada masa hadapan di atas tanah bukit kecuali untuk kemudahan awam yang penting.

Menurut salah wakil Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Meenakshi Raman, menggesa pihak berkuasa Persekutuan dan Negeri yang berkaitan serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang supaya mengambil tindakan segera yang sewajarnya untuk memastikan bahawa tiada lagi berlakunya kejadian tanah runtuh dan menstabilkan cerun bukit.

“Sebarang projek pembangunan di kawasan yang mungkin menyumbang kepada kejadian tanah runtuh mestilah disiasat dengan segera dan dipantau dengan tindakan diambil untuk mencegah berlakunya sebarang kejadian dan tragedi yang tidak diingini.

“Kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini boleh menjadi satu amaran kepada kita yang tidak boleh diabaikan berhubung masalah yang berkaitan dengan kestabilan tanah dan cerun bukit di kawasan itu.

“Ini terutama sekali apabila dijangkakan hujan lebat dalam beberapa hari akan datang,” kata Meenakshi Raman.

Beliau berkata kejadian tanah runtuh di Paya Terubong sekali lagi mendedahkan akan bahaya membenarkan pembangunan dilakukan di kawasan lereng bukit dan bukit yang merupakan kawasan alam sekitar yang sensitif, terutama sekali apabila ramai penduduk tinggal di kaki bukit di kawasan projek yang dicadangkan sepertimana dalam kes di Paya Terubong dan Sungai Ara.

“Memandangkan beberapa tragedi yang berlaku sebelum ini seperti kejadian tumbangnya Highland Towers dan tanah runtuh di Cameron Highlands, kerajaan perlu lebih berhati-hati untuk tidak membenarkan projek pembangunan di kawasan alam sekitar yang sensitif seperti kawasan tanah bukit yang melebihi 250 kaki di atas paras laut dan dengan kecerunan melebihi 25 darjah,” ujarnya.

Beliau menegaskan pembangunan di kawasan tanah bukit yang sensitif dengan lebih 250 kaki sepatutnya tidak dibenarkan, memandangkan ia mendedahkan kesan alam sekitar dan sosial yang serius bagi penduduk di kawasan berdekatan seperti hakisan tanah, tanah runtuh, ketidakstabilan tanah dan kesan negatif daripada kerja-kerja meletup batu dan sebagainya. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *