‘1MDB Ada Atau Tidak, Mereka Tetap Akan Serang’ – Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pembangkang sengaja membesar-besarkan kemelut dihadapi 1MDB kerana mahu menumbangkan kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak di hadapan ratusan pelabur dalam dan luar negara hari ini.

“Jika 1MDB tiada sekali pun, mereka akan membuat serangan lain untuk cuba menukar kerajaan dengan cara yang tidak sah. Maka kami kekal teguh di hadapan kempen terancang ini,” kata Najib dalam ucaptama di Invest Malaysia 2017 hari ini.

Beliau menafikan kerajaannya cuba “lari dari masalah”, sebaliknya berkata ia mengarahkan siasatan terhadap syarikat itu pada “skala terbesar dalam sejarah negara”.

“Berbanding menggunakan wang untuk menutupnya – kaedah yang digunakan seorang pemimpin terdahulu – saya mengarahkan penyelarasan dilakukan,” katanya, yang tidak menamakan siapa yang dimaksudkannya, walaupun beliau kerap menyerang bekas bosnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kini banyak aset yang pernah dimiliki 1MDB kini dalam keadaan baik. Anda boleh melihat pembinaan baru di Tun Razak Exchange (TRX) untuk mengesahkannya,” katanya.

1MDB membeli tanah milik kerajaan seluas 70 ekar bagi membina TRX sebagai sebuah pusat kewangan, namun projek itu diambil alih Kementerian Kewangan tahun ini.

Syarikat milik kementerian itu berdepan pelbagai dakwaan salah laku kewangan. Beberapa aset di Amerika Syarikat yang diperolehi melalui dana berkaitan dengannya turut disasarkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Najib berkata perhatian sebenar pembangkang bukan berkenaan 1MDB, tetapi hanya mahu menyerang kerajaan.

Beliau berikrar tidak akan lagi mengamalkan budaya kroni dan menganggap syarikat negara seperti milik peribadi seperti pemimpin terdahulu.

“Kami sedang membanteras kapitalisme kroni, tiada lagi urusniaga tidak munasabah (sweetheart deal). Tiada lagi masalah kepada negara hanya untuk melayan ego seorang tokoh,” katanya. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *