6 Perbuatan Oleh Ibubapa Ini Membuatkan Anak-Anak Renggang Dan Memberontak

Otak anak-anak bertindak balas terhadap tindakan dan percakapan atau suara ibu bapa sejak bayi lagi. Otak mereka semasa kecil berkembang dengan sangat cepat sehingga umur 14 atau 15 tahun. Kanak-kanak mempelajari cara bercakap dan bertindak melalui orang dewasa, yang menjadi cermin kepada mereka.

Jika anda mencarut di hadapan mereka, kemungkinan besar mereka juga akan belajar mencarut. Dan disebabkan mereka masih belum mampu mengawal emosi sepenuhnya, mereka akan lebih tertekan tanpa dapat mengawalnya.

“Tekanan jangka masa panjang adalah toksik kepada otak kanak-kanak dan boleh menjejaskan fungsinya untuk mengawal pemikiran dan emosi,” jelas Dr. Terri Apter.

iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 6 kelakuan yang anda tak patut lakukan pada anak-anak yang boleh memberikan kesan buruk jangka masa panjang kepada otak dan kelakuan mereka.

1. Menidakkan kata-kata anak

Memang biasa sangat berlaku di mana ibu bapa menidakkan kata-kata anak anda dan tidak mendengar apa yang dikatakan mereka, namun tidak disedari oleh ibu bapa. Ya, memang benar naluri kanak-kanak yang biasanya bertindak secara impulsif tanpa memikirkan apa-apa kadang-kadang membuatkan ibu bapa hilang sabar dan terpaksa membesarkan suara.

Tetapi, kita sebagai orang dewasa perlu menangganinya dengan bijak. Komunikasi yang baik dan betul perlu diterapkan di antara ibu bapa dan anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ini tersangat penting untuk perkembangan kanak-kanak.

Menurut Dr. Barbara Greeberg, seorang pakar psikologi klinikal remaja, ibu bapa bersifat toksik adalah mereka yang tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh anak-anak dan menidakkan mereka. “Ibu bapa sepatutnya lebih bersabar dan dengar, dengar dan dengar ketika mana anak-anak bercakap dan terus bercakap,” jelasnya lagi.

2. Tidak pandai mengawal kekecewaan

Jika anak-anak anda mencapai umur 15 tahun, kebanyakan ibu bapa mudah untuk berasa kecewa dengan anak mereka, sama ada dalam bidan sosial atau akademik. Tidak menyedari hal ini, ramai ibu bapa yang tidak tahu bahawa tindakan mereka lah yang akan sama ada menggalakkan atau melemahkan tingkah laku anak mereka.

Ibu bapa tidak sepatutnya meluahkan perasaan kecewa mereka terhadap anak mereka, sebaliknya mencari penyelesaian dan memberi semangat. Menurut pakar psikologi kanak-kanak, Dr. Jeffery Bernstein, ibu bapa pasti akan kagum melihat betapa cepatnya perubahan kepada tingkah laku anak-anak, jika ibu bapa sendiri dapat mengenalpasti dan mengawal kekecewaan mereka.

3. Terlalu menjadi ibu bapa

Walaupun anda adalah ibu bapa kepada anak-anak anda, namun terlalu menggunakan posisi itu secara keterlaluan akan memberikan impak negatif kepada mereka. Sebagai kanak-kanak atau remaja yang sedang membesar, mereka memerlukan seseorang untuk menjadi mentor dan juga rakan.

Untuk membentuk anak-anak, anda perlu menjadi mentor iaitu tanggungjawab sebagai ibu bapa, dan juga rakan yang anda boleh capai melalui bersosial dengan mereka. Ketika ini, mereka mempunyai seorang idola untuk mereka contohi, dan anda perlu menjadi individu it.

Namun perlu diingat, anda perlu tahu sempadan antara persahabatan dan tanggungjawab keibubapaan supaya mereka tidak memijak kepala anda. Kesilapan yang paling besar boleh dilakukan ketika mereka remaja adalah ibu bapa terlalu mengikut kemahuan anak-anak dengan terlalu rapat dengan mereka sebagai sahabat dan terlupa tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa.

4. Terlalu mengongkong

Melihat mereka membesar mengikut apa yang anda mahukan sememangnya suatu perasaaan yang tak dapat digambarkan.Namun, terdapat sesetengah ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka menjadi seperti yang mereka mahu, sehinggakan terlupa bahawa anak mereka juga mempunyai identiti mereka dengan menyekat anak-anak mereka.

Tindakan melampaui batas ini dengan mengongkong dan menghalang mereka untuk berdikari merupakan satu kesalahan yang amat besar. Memang benar ibu bapa ingin menjaga anak-anak daripada pengaruh negatif di luar dan mahu mengurangkan risiko. Tetapi, perlu tahu di mana hadnya, dan perlu berikan sedikit kebebasan, supaya mereka boleh lebih berdikari, dan tidak berasa diperhatikan setiap masa.

Anda perlu ingat, serisau mana sekalipun anda terhadap mereka, satu hari nanti anda tetap perlu melepaska mereka keluar dan mempunyai hidup sendiri. Tanpa latihan awal, ia akan menyukarkan hidup mereka kelak.

Pakar psikologi mempersetujui bahawa sifat berdikari perlu diterapkan untuk beberapa sebab penting, iaitu keyakinan diri, kemahiran bersosial dan mencari identiti mereka.

5. Kritikan lisan

Jika anak anda ada melakukan kesalahan, jangan terus bertindak, lebih-lebih lagi mengkritik mereka menggunakan lisan, apatah lagi dengan kata-kata yang kasar dan boleh mengguris hati. Ia akan memberikan dua kesan negatif, iaitu menjatuhkan harga diri anda dan memburukkan pandangan anak-anak terhadap anda.

Cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menyimpan segala tanggapan negatif dalam diri anda dan tunggu masa yang sesuai bertindak. Dan tegur dengan berhemah kerana mereka akan lebih mendengar. Ini disebabkan mereka mengagak anda akan memarahi mereka, sebaliknya anda bercakap dengan baik, menambahkan lagi rasa hormat mereka terhadap anda.

Secara tak langsung, membuatkan mereka lebih mendengar kata.

6. Mengabaikan keperluan mereka

Ini adalah yang paling penting di antara semua. Ketika mereka masih kecil, bukanlah wang ringgit yang mereka perlukan dari anda. Apa yang mereka mahukan adalah perhatian anda. Tanya diri anda, adakah anda memberi masa yang secukupnya kepada anak-anak anda?

Di zaman serba mencabar ini, dengan ekonomi yang tidak menentu, sudah tentu mencari wang ringgit untuk menyara keluarga menjadi keutamaan sehinggakan sukar bagi anda untuk memenuhi kehendak yang lain. Dan lebih mudah untuk anda menjadikan alasan sibuk untuk mengelak dari berhadapan dengan masalah ini.

Sedar tak sedar, anak anda menjadi semakin renggang dengan anda dan mula tidak mendengar kata anda. Jangan terkejut jika mereka tidak menghormati anda, kerana anda sendiri yang membentuk mereka untuk hidup tanpa anda. Jadi, bagi mereka, anda hanyalah orang yang tinggal sebumbung dengan mereka, tidak lebih dari itu.

Untuk membendung perkara ini daripada berlaku, berikan perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak anda, walau sesibuk mana sekalipun. Sentiasa ada bila mereka perlukan anda, dan luangkan masa 15 minit untuk memeluk mereka. Sentuhan fizikal terhadap anak-anak kecil memberikan kesan yang sangat positif. Bantu dalam kerja rumah mereka, tidurkan mereka dan ucap selamat malam.

Jika anda masih berkata anda terlalu sibuk untuk semua ini, muhasabah diri anda. Sampai bila anda akan sibuk dan tak punya masa untuk mereka? Jangan sampai semuanya sudah terlambat baru anda menyesal dan mula untuk luangkan masa, kerana itu hanyalah sia-sia. – i

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *