Adam Adli hasut mahasiswa menentang kerajaan melalui pembayaran PTPTN

18/7/2017– Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan bahawa tindakan akan diambil terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar, termasuk menyenaraihitamkan mereka.

Beliau merujuk tinjauan Bank Negara Malaysia yang mendapati ramai membayar pinjaman perumahan dan kereta serta kad kredit tetapi enggan membayar pinjaman PTPTN.

“Bank Negara ada jumpa saya, mereka tunjuk satu kajian yang mereka sendiri buat. Mengikut kajian itu, orang tidak bayar PTPTN, tetapi pada masa yang sama mereka membayar pinjaman kereta, rumah dan kad kredit.

“Kerana apa (tidak bayar PTPTN). Sebab tak nak, bukan sebab mereka tidak mampu,” katanya selepas mengulas soalan peserta program sesi taklimat di Bengkel Latihan dan Simulasi Perbahasan Parlimen Mahasiswa pada Ahad lalu, yang mahu tahu kewajaran peminjam PTPTN disenarai hitamkan oleh Bank Negara.

Namun, aktivis Adam Adli cuba menghasut mahasiswa menentang kerajaan melalui pembayaran PTPTN. Bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dibuang pengajiannya itu suatu ketika dahulu pernah menjadi ‘ayam sabung’ pihak pembangkang khasnya PKR dalam setiap kali siri jelajah kempen politik mereka.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, hampir semua ceramah pembangkang menampilkan Adam Adli di atas pentas dengan pimpinan utama PKR termasuk idolanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai tokoh lain.

Bagaimanapun kebelakangan ini, nama Adam Adli seperti dilupakan banyak pihak waima pembangkang sendiri dan beliau juga tidak lagi kelihatan sepentas dengan barisan pemimpin Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat).

Beliau cuba mempertahankan mereka yang gagal membayar balik pinjaman PTPTN, sambil mempersoalkan tindakan pihak berkuasa ke atas mereka.

“Pendidikan tidak seharusnya menjadi perniagaan. Ia adalah hak semua.

“Bagi seorang menteri untuk mengatakan tindakan tegas akan diambil terhadap peminjam adalah tidak bijak.

“Kenapa anda perlu ‘menghukum’ seorang graduan yang bersusah payah untuk mendapatkan tempat di universiti, terutama di universiti awam?” kata Adam.

Beliau berkata, pelajar yang mengambil pinjaman PTPTN mungkin tidak menyedari risiko yang mereka hadapi termasuk disenaraihitamkan selepas menamatkan pengajian mereka.

Adam mendakwa peminjam enggan membayar sebagai tanda protes terhadap dasar kerajaan tidak membiayai pendidikan tinggi.

Katanya, mereka terpaksa mengutamakan pembayaran hutang komersial lain kerana bimbang harta benda dirampas bank.

Awal tahun ini, Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata 663,000 peminjam tidak membuat apa-apa bayaran balik.

Daripada mereka, 19% disenaraihitamkan kerana menanggung terlalu banyak hutang dan disekat daripada meninggalkan negara.

PTPTN berkata sehingga awal tahun ini, ia hanya hanya mengutip RM10.8 bilion daripada RM18.8 bilion yang diedarkan. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *