Armada PPBM akan perjuangkan Sekolah Satu Aliran didalam Pakatan.

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tetap mengimpikan sekolah satu aliran menjadi kenyataan pada masa depan walaupun ketika ini bersetuju dengan tuntutan Pemuda Pakatan Harapan supaya Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tuntutan supaya sijil sekolah menengah persendirian Cina itu diiktiraf sebagai mengambil langkah pertengahan.

“Kita mengiktiraf UEC tetapi kita perincikan jalan pertengahan untuk bergerak ke hadapan supaya semua boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

“Saya sokong sekolah satu aliran. Sekarang sudah ada lepasan UEC, mereka mahukan tempat (IPTA). Isu sekolah satu aliran untuk akan datang.

“Saya sendiri akan cuba sedaya upaya perkara ini berlaku pada masa depan,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline selepas sidang media Pemuda Pakatan Harapan di Petaling Jaya hari ini.

Isu UEC telah lama menjadi polemik apabila tuntutan Pertubuhan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya sijil itu diiktiraf tidak dilaksanakan pihak kerajaan Persekutuan.

Hal ini kerana, Dong Zong enggan menerima cadangan Kementerian Pendidikan agar kurikulum pelajaran sijil piawai bagi pelajar di kesemua 60 sekolah menengah persendirian Cina di negara ini dipinda supaya selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq mengakui sekolah satu aliran diperlukan memandangkan sistem pendidikan sedia ada menyebabkan berlakunya pengasingan murid mengikut kaum sekaligus tidak menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya tekankan untuk kita tidak mempolitikkan pendidikan. Kebanyakan ibu bapa Cina yang ditemui memberitahu bukan isu bahasa (punca tidak menghantar anak ke sekolah kebangsaan), tapi lebih kepada kualiti pendidikan.

“(Jawatan) guru besar pun dipolitikkan. Silibus juga dipolitikkan sampai satu tahap subjek Sains dan Matematik kita merudum,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat sekolah satu aliran dapat dilaksanakan sekiranya kualiti semua aspek di sekolah kebangsaan diberi keutamaan.

“Di Singapura, kualiti pendidian mereka di tahap cemerlang. Tidak timbul isu jenis sekolah. Jadi, apabila isu sekolah kebangsaan diselesaikan maka sekolah satu aliran boleh menjadi realiti,” jelasnya lagi.

Ditanya lanjut tentang usaha memperkasa sekolah kebangsaan yang tiada disebutkan secara jelas dalam tawaran anak muda Pakatan Harapan untuk pembangunan pendidikan negara, Syed Saddiq berkata, hal tersebut termasuk dalam dasar autonomi pendidikan yang turut merangkumi sekolah kebangsaan.

Walau bagaimanapun, sidang media yang disertai pemuda dari PKR, Amanah, DAP dan Bersatu hari ini dilihat tidak menjurus kepada pemerkasaan sekolah kebangsaan bahkan sebaliknya menuntut supaya kerajaan lebih membantu “sekolah alternatif”.

“Kami (Pemuda Pakatan Harapan) sedar pendidikan adalah dinamik dan dengan kesenjangan yang jelas di pelbagai peringkat masyarakat negara ini, tidak mungkin semua sekolah boleh berteraskan satu sistem pendidikan tanpa kesan-kesan yang berlainan.

“Kerajaan Persekutuan juga harus memainkan peranan yang lebih besar untuk membantu sekolah-sekolah alternatif, mengiktiraf pilihan ibu bapa untuk menetapkan pendidikan anak mereka.

“Kerajaan Selangor dan juga Pulau Pinang telah mengusahakan perkara ini melalui sokongan mereka kepada sekolah aliran agama dan vernakular,” dipetik daripada kenyataan tiga halaman itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *