Bapa Sanggup Bawa Anak Bersiar-Siar Ke ‘Port’ Dadah

BALING – Taktik seorang lelaki membawa anak perempuannya berusia dua tahun tujuh bulan ke port penagihan di Kampung Che Wan Jusoh, di sini bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak berjaya apabila ditahan bersama lapan penagih lain dalam satu operasi, semalam.

Serbuan seawal jam 6 pagi di Kampung Parit Panjang itu melibatkan 15 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Baling, Kubang Pasu, Kulim dan Kuala Muda yang diketuai Rozaini Fakhrullah Rosland.

Pegawai AADK daerah Baling, Arnida Ishak berkata, lelaki berkenaan dipercayai masuk ke port tersebut untuk mendapatkan bekalan dadah dan melepaskan gian.

“Individu tersebut cuba melengahkan pihak AADK yang menahannya dengan alasan membawa anak bersiar-siar,” katanya.

Menurutnya, hasil saringan air kencing mendapati kesemua penagih berusia 19 hingga 60 tahun tersebut positif dadah jenis opiat dan metamphetamine.

“Mereka dibawa ke pejabat AADK Baling untuk tindakan lanjut dan akan disabitkan kesalahan di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Beliau berkata, AADK Baling akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi membantu masyarakat memerangi dadah habis-habisan.

“Selain itu, kerjasama semua pihak diharapkan dalam menjadi mata dan telinga AADK.

“Aktiviti penagihan dadah yang berlaku di kawasan kejiranan mereka perlu dilaporkan,” katanya. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *