Bayi Ajaib Ucap ‘Assalamualaikum’ Sebanyak 3 Kali selepas Dilahirkan

Penduduk Dusun Penja, Kampung Karueng, Sulawesi, Indonesia gempar mengenai berita seorang gadis disitu telah bersalin dalam cara yang luar biasa.

Gadis itu dikatakan tidak mempunyai suami dan tidak pernah melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki.  Dan, bayi yang dilahirkan oleh gadis yang berusia 19 tahun itu dikatakan hanya berada dalam kandungan selama tiga jam.

Berita keanehan itu telah tersebar dan menjadi bualan penduduk tempatan.

Sepupu gadis itu bernama Erwin telah mengesahkan berita itu.  Menurutnya, kejadian aneh itu tiba-tiba saja terjadi kepada sepupunya.  Erwin mengatakan, “Semalam perut dia tiba-tiba membesar selama tiga jam, selepas itu, dia terus bersalin.”

Gadis itu telah selamat melahirkan bayi seberat 3 kg. Lebih menganehkan selepas keluar bayi itu terus mengucapkan “Assalamualaikum” sebanyak tiga kali.

Erwin menambah, “Pak cik saya yang juga datuk kepada bayi itu menyatakan yang selepas sahaja dilahirkan, bayi itu terus mengucapkan ‘Assalamualaikum’ sebanyak tiga kali.”

Namun, keluarga itu tidak membenarkan wartawan dan penduduk untuk mengambil gambar bayi tersebut.  Malah untuk mendapatkan maklumat lanjut dari gadis yang dikenali sebagai UR itu juga tidak dibenarkan.

Sementara itu, Pusat Kesihatan Masyarakat Kota Enrekang telah melakukan pemeriksaan kepada ibu dan juga bayi tersebut. Menurut ketua pusat kesihatan itu, Dr Siswaty Zaenal, “Hasil pemeriksaan awal kami mendapati semuanya normal, tiada tanda kelahiran awal pada bayi itu. Ini adalah kelahiran normal.”

Dia juga telah menjelaskan perbezaan antara kelahiran normal iaitu selama sembilan bulan dengan kelahiran awal atau tidak cukup bulan.

“Salah satu tanda fizikal adalah keadaan bentuk dan warna puting payu dara ibu yang kehitaman berbanding yang melahirkan awal. Jadi, hasil pemeriksaan kami ini adalah kelahiran normal.”

“Tambahan pula keadaan bayi itu juga normal, dan selama pemeriksaan bayi itu tidak bercakap seperti yang diperkatakan oleh penduduk. Berita ini sudah tersebar oleh itu ia perlu dibetulkan.”

Sementara itu, Dewan Penasihat Majlis Ulama Indonesia (MUI), Haji Amin Palmansyah menegaskan yang masyarakat perlu menapis dahulu sesuatu berita. Jangan terlalu mudah mempercayai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *