Bot Siput Dan Bot Rawa Sorong Ditahan Pihak Maritim

ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kuala Kedah menahan sebuah bot siput yang melanggar syarat lesen dan sebuah bot pukat rawa sorong di perairan Yan dan Kuala Kedah.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata bot siput itu ditahan pada 4.30 pagi tadi pada jarak 1.5 batu nautika dari pantai Kuala Kedah, manakala bot pukat rawa sorong ditahan jam 5.30 pagi semalam di 1.3 batu nautika barat laut pantai Yan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot siput tersebut didapati pengusaha telah melakukan kesalahan melanggar syarat lesen. Lima lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 33 hingga 47 tahun ditahan untuk siasatan dan pendakwaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Maritim turut menyita bot pukat rawa sorong berkenaan bersama peralatan menangkap ikan dan dibawa ke pangkalan maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Sebaik sahaja menyedari kehadiran bot penguat kuasa, nelayan terbabit cuba melarikan diri dengan membawa bot ke kawasan cetek. Nelayan itu kemudian terjun ke dalam laut dan berenang ke pantai untuk melarikan diri,” katanya.

Katanya, Maritim akan terus membanteras penggunaan bot pukat rawa sorong yang boleh memusnahkan habitat dan menjejaskan pertumbuhan hidupan marin. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *