DAP Pulau Pinang dikecam kerana takut tandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR)

17/7/2017- Inilah jadinya bila orang yang hanya pandai cakap berdegar-degar dihadapan rakyat, kononnya kerajaan pimpinan mereka amanah dan telus dalam apa jua perkara. Kebanggaan palsu yang sering dipertontonkannya, mula memakan diri.

Selama ini Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng bangga melaung-laungkan slogan CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus), yang kononnya menjadi pegangan mereka. Namun bukanlah slogan yang dipraktikkan tetapi hanyalah satu ayat kepura-puraan buatan DAP bagi meyakinkan rakyat supaya menyokong mereka.

Rabu lepas, Kerajaan DAP Pulau Pinang menyifatkan prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT) yang dilaksanakan di negeri itu sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Kenyataan itu susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad pada Isnin lepas bahawa tiga negeri di bawah pimpinan Pakatan iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan masih belum memberikan komitmen.

Walaubagaimanapun, kenyataan sombong Kerajaan DAP Pulau Pinang itu terus dikecam dan dikritik. MIC hari ini menasihatkan Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya menghentikan ‘khutbah’ tentang dasar CAT memandangkan pemerintah DAP itu gagal menandatangani IBR.

Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarraajh menyifatkan kerajaan negeri itu sendiri kelihatan tidak yakin dengan isu rasuah yang berlaku di dalam pentadbiran mereka.

“DAP mengkritik secara terbuka terhadap kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang kebanyakan mereka telah berikrar untuk memerangi rasuah.

“Malah Kelantan dan Selangor juga menyatakan kesediaan mereka untuk memerangi rasuah. DAP hanya pandai bercakap dan mengelirukan orang ramai,” kata C Sivarraajh.

Berdasarkan helah parti rasis dan cauvinis DAP ini, parti itu diminta berhenti membuat tuduhan dan dakwaan terhadap BN terutama mempertikaikan soal ketulusan dan integriti.

“Memandangkan DAP hebat berkhutbah mengenai tadbir urus yang bersih dan telus, kenapa mereka menolak IBR?

“Jika kerajaan negeri Pulau Pinang tidak berikrar, maka saya minta supaya mereka berhenti menyampaikan mantera CAT.

“Keduanya, DAP juga patut berhenti bercakap tentang penyalahgunaan kuasa dan apa jua bentuk rasuah kerana mereka tidak bertindak seperti yang sepatutnya.

“Mereka harus berani untuk membuat ikrar,” kata C Sivarraajh lagi.

Umum mengetahui Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedang menghadapi dua pertuduhan kes skandal rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo “terlajak murah”.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya itu juga dikaitkan dengan isu kos kajian feasibiliti cadangan terowong bawah laut yang mencecah RM305 juta, penjualan tanah berbilion ringgit, penjualan tanah bumiputera sehingga tertangkapnya Pengerusi Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Dato’ Syed Murtaza, taikun Hunza Group, Dato’ Seri Khor Teng Tong proksi Guan Eng dan kes skandal rasuah Zakat Pulau Pinang.

DAP kini hanya dapat dilihat bercakap kosong apabila pemimpin tertinggi parti itu terlibat skandal rasuah. Pokok pangkalnya, tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang ini membuktikan bahawa mereka ni jenis yang takut bayang-bayang sendiri. Mereka hanya pandai menuduh orang lain. Bila mereka diminta berbuat demikian, pelbagai alasan diberi untuk mengelak. -Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *