Dave Bautista Tidak Lupa Jasa Vin Diesel

Bukan sesuatu yang baru apabila seorang ahli gusti profesional bertukar karier menjadi seorang pelakon.  Sama seperti salah seorang pelakon terkenal Hollywood, Dwayne Johnson yang dulunya merupakan seorang ahli gusti profesional WWE dengan nama gelaran “The Rock”.

Selepas Dwayne, kini ada seorang lagi ahli gusti profesional yang telah berjaya menarik perhatian pencinta filem Hollywood.  Dave Bautista adalah bekas ahli gusti profesional yang menjadi terkenal hasil dari wataknya sebagai Drax the Destroyer dalam Guardian of the Galaxy (2014) dan Guardian of the Galaxy Vol.2 (2017).

Dalam temubual bersama media baru-baru ini, Dave mendedahkan yang dia telah jatuh cinta dengan lakonan sejak kali pertama berlakon.  “Ia mungkin kedengaran klise, tetapi sejujurnya selepas berlakon dalam filem, saya jatuh cinta dengan lakonan.”

Di awal kariernya, Dave sedar yang perjalanannya sebagai pelakon tidak mudah kerana filem lakonannya “Kelas B”. Peluangnya membintangi filem “Kelas A” terbuka apabila Vin Diesel menawarkannya berlakon dalam filem Riddick (2013).

Sementara itu, Dave juga berterima kasih kepada Vin Diesel kerana telah membantunya ketika di set penggambaran.  Dave menjelaskan, “Saya sangat berterima kasih kepada Vin.  Dia yang meminta saya untuk berlakon dalam filem itu.  Di set juga, dia selalu membantu dan memberi nasihat.”

Karier Dave semakin cemerlang selepas dia berjaya berlakon watak Drax the Destroyer dalam Guardians of the Galaxy pada tahun 2014.  Dia juga tidak menyangka jika dia boleh berlakon dalam filem yang sebesar dan berjaya seperti Guardian of the Galaxy.

Dave menambah, “Terus terang saya tidak menyangka boleh berlakon dalam filem sebesar itu.  Sepanjang audition, saya sangat gementar. Ada perasaan takut dan dalam masa yang sama saya mahukan watak itu.  Namun, akhirnya saya dapat watak Drax.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *