Demi Ayah Tercinta, Iqram Dinzly Habiskan Masa Dan Beraya Di Hospital

Suasana Aidilfitri pelakon Iqram Dinzly kali ini berbeza sekali, namun dia bersyukur kerana ayahnya kini semakin pulih selepas 10 hari terlantar sakit dan masih mendapat rawatan di hospital.

Iqram atau Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 35, memuat naik gambar dia berswafoto bersama ayahnya yang dikatakan telah diserang strok separuh badan.

Foto tersebut telah mendapat perhatian netizen yang turut mendoakan kesihatan ayah pelakon itu yang masih berada di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Menurut Iqram, ayahnya dikejarkan ke hospital selepas diserang strok pada 20 Jun lalu, lima hari sebelum umat Islam merayakan Aidilfitri.

Sehingga kini, Iqram masih menjaga ayahnya di hospital. Biarpun terpaksa beraya dan menghabiskan masa di hospital, dia mengganggap ia satu pengalaman yang luar biasa.

“Ayah menghidap penyakit kencing manis sejak berbelas tahun lagi dan ditambah dengan darah tinggi pula.

Malangnya, penghujung bulan Ramadan dia diserang strok separuh badan.

“Alhamdulillah, kesihatan ayah semakin pulih dan memang saya korbankan masa sepenuhnya menjaga dia di hospital bersama mama.

“Manakala malam pula, akan bergilir dengan adik beradik yang lain untuk teman ayah tidur.

“Walaupun kami sekeluarga terpaksa beraya di hospital tapi bagi saya ia satu pengalaman yang luar biasa dapat menjaga ayah.

“Ayah tak boleh bercakap seperti biasa dan pergerakannya juga terbatas membuatkan perasaannya tertekan.

“Mak pula nampak kuat tapi saya tahu dia risau dengan keadaan ayah,” kata Iqram ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Dalam pada itu, Iqram berkata, dia perlu berfikiran positif dan berserah dengan dugaan dia dan keluarga. Tambahnya lagi, apa yang berlaku telah membuatkannya lebih matang.

“Apabila benda ini jadi, saya perlu sentiasa positif. Bila kita berserah, Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan mudah.

“Banyak juga perkara baru yang saya belajar sepanjang di hospital ini.

“Jururawat, doktor dan pesakit di sini banyak bantu beri nasihat dan cara menjaga orang lumpuh.

“Pengalaman sebegini membuatkan saya lebih matang dan dewasa dalam menguruskan hal keluarga,” ujarnya.

Iqram terpaksa meminta bantuan mak cik saudara untuk menjaga kedai makannya di Langkawi yang sudah beroperasi sejak awal tahun ini.

Selain itu, dia juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengikut Instagramnya yang tidak henti-henti mendoakan kesihatan ayahnya. – ms

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *